Tolak normalisasi bahasa kurang sopan - Utusan Malaysia

Tolak normalisasi bahasa kurang sopan

MELALUI kepelbagaian platform media baharu, sesiapa sahaja kini boleh menghasilkan kandungan menarik dengan kadar segera. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBELAKANGAN ini, penggunaan video sebagai medium penyampaian maklumat dilihat semakin mendapat perhatian pelbagai pihak kerana ia lebih santai, menyenangkan dan lebih interaktif dalam menarik khalayak sasaran terhadap sesuatu mesej ingin disebarkan.

Penggunaan video didapati memperoleh penerimaan baik dalam kalangan masyarakat. Trend ini juga menyaksikan semakin ramai pempengaruh menempa nama di media sosial sehingga ada dalam kalangan mereka berjaya dalam perniagaan yang dipromosikan, bahkan ada diangkat menjadi ‘artis segera’.

Sekiranya ditinjau dari sudut pandang sebelum evolusi media dan komunikasi, ternyata wujud perbezaan begitu besar di antara bentuk penyampaian maklumat melalui kaedah konvensional seperti televisyen, radio dan risalah sebelumnya kepada keadaan hari ini melalui platform media baharu.

Malah, kemunculan media baharu seperti Facebook, X, Instagram dan TikTok menunjukkan adanya variasi platform yang memudahkan masyarakat memperoleh maklumat.

Tambahan pula, bentuk-bentuk media baharu ini menyajikan banyak kandungan berbentuk video sekali gus menjadikannya lebih diminati. Melalui kepelbagaian platform media baharu ini, sesiapa sahaja boleh menghasilkan kandungan menarik dengan kadar segera.

Ciri-ciri media baharu yang memudahkan pengguna dalam mereka bentuk sesuatu video melalui teknik-teknik mudah menyebabkan ribuan serta jutaan kandungan video kini boleh dilihat di platform-platform media baharu ini.

Malah, kadangkala kreativiti individu yang menghasilkan video berkualiti melalui mesej menarik dan jelas berupaya menyumbang kepada peningkatan lebih ramai pengikut sekali gus meningkatkan pengaruhnya terhadap pengguna.

Bagaimanapun, terdapat juga kandungan video yang kadangkala dilihat agak kurang sopan dan negatif dari segi penyampaiannya. Perkara ini merujuk kepada segelintir pencipta video yang sengaja mereka bentuk kandungan berunsurkan lucah dan ganas bagi meraih populariti dalam kalangan netizen.

Penggunaan perkataan kesat dianggap biasa tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat yang menontonnya. Perkara ini ditambah lagi dengan aksi-aksi ganas dengan nada suara tinggi dan perkataan tidak sopan sehingga kadangkala dilihat terlalu melampau untuk tayangan umum.

Apabila video menjadi tular, pelbagai alasan diberikan oleh segelintir pencipta video mahupun pelakon seperti tidak sengaja dan mengikut skrip diberikan syarikat produksi.

Alasan lain adalah sekadar untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan serta pelbagai lagi alasan tidak masuk akal yang kadangkala menambahkan lagi kemarahan orang ramai.

Permohonan maaf kadangkala dibuat tetapi ia seolah-olah permainan apabila perkara sama diulang dalam kandungan video-video berikutnya.

Dalam hal ini, seharusnya pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil berat perkara ini dengan menetapkan satu peraturan lebih berfokus berkaitan penggunaan bahasa tidak sopan dalam kandungan video. – UTUSAN

DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya