SAUDARA PENGARANG,
ISU kebocoran data peribadi rakyat Malaysia bukanlah perkara baharu. Isu ini telah tular sejak Mei 2022 dan aktiviti menjual maklumat data peribadi rakyat adalah antara sumber ekonomi gelap yang telah lama bertapak.
Walaupun sudah ada peruntukan perundangan melalui Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, namun penguatkuasaannya kelihatan masih lemah dan tidak berkesan.
Banyak industri terutama sektor insurans, hartanah dan kewangan menjadi pengguna kepada data ini.
Isu penyalahgunaan sumber data ini berkemungkinan tinggi berlaku dan bukanlah mustahil.
Dalam kes ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat bahawa penggunaan data peribadi pengundi yang diperoleh daripada sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas disalahguna untuk tujuan komersial.
Kemungkinan berlakunya pelanggaran terhadap peruntukan dalam PDPA dan Seksyen 9 Akta SPR (Akta 31) adalah cukup tinggi.
Sebuah syarikat telah dilantik sebagai Firma pengendali di mana pihak Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor hanya memegang ekuiti 49 peratus. Justeru, data-data peribadi pengundi/rakyat disalur ke entiti komersial yang berisiko terhadap potensi penyalahgunaan komersial.
Data SPR ini hanya boleh digunakan dengan kebenaran bertulis oleh Yang di-Pertuan Agong. Justeru, kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kelihatan bercanggah apabila beliau mengatakan cuma prapendaftaran sahaja sedangkan maklumat peribadi termasuk nombor MyKad pengundi jelas diperguna seperti tertera dalam sijil Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN).
MCW menggesa SPR segera mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan tiada sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang telah termaktub bagi memastikan penggunaan data ini adalah telus dan berintegriti atau sebaliknya.
MCW khuatir perkara ini akan dijadikan satu duluan pada masa hadapan sekiranya ia tidak diperjelaskan segera.-UTUSAN
PEMERHATI RASUAH MALAYSIA (MCW)