SAUDARA PENGARANG,
SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan ke-66 yang baru berlalu mengingatkan kita tentang perjuangan rakyat Persekutuan Tanah Melayu untuk membebaskan tanah air setelah lebih 500 tahun dijajah oleh kuasa asing.
Hari Malaysia yang disambut pada 16 September ini pula menandakan kesatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura untuk membentuk gagasan Malaysia pada 1963.
Baik proses kemerdekaan mahupun pembentukan gagasan Malaysia, setiap langkah yang diambil dikaji sedalam-dalamnya.
Diselidiki berulang kali agar tidak berlaku sebarang kepincangan boleh mencacatcelakan kedaulatan negara yang dibina.
Kini, negara kita sudah berusia 66 tahun. Maknanya lebih dari setengah abad, kedaulatan negara kekal kukuh.
Tiada ada sebarang anasir luar yang berjaya menggoyahkan pasak keutuhan perpaduan di negara ini.
Oleh itu, perpaduan ini perlu dipertahankan. Untuk mencapai keadaan ini, setiap rakyat harus mengamalkan toleransi dan kerjasama sesama mereka.
Buangkan persepsi negatif yang masih berlegar dalam pemikiran masing-masing. Lihat setiap individu sebagai orang Malaysia dan bukan lagi atas dasar kaum.
Sebagai manusia yang mempunyai fikiran waras, kita harus menghindari sebarang provokasi. Jangan kita memberi talian hayat kepada anasir yang cuba memecahbelahkan hubungan antara kaum.
Ada sahaja isu-isu tertentu dijadikan sebagai provokasi sehingga mengundang ketidaktenteraman.
Jika kita terus memberi perhatian terhadap isu-isu provokatif yang dilemparkan, negara kita tidak akan aman. Bahkan mereka ini akan bergerak dengan lebih ligat lagi.
Kekuatan perpaduan antara kaum sudah tentunya akan menebalkan lagi jati diri dalam diri semua rakyat Malaysia, sekali gus mencetuskan rasa cinta pada negara dengan lebih mendalam.
Oleh itu, belum terlambat lagi untuk kita semua mempamerkan semangat patriotik dan jati diri tinggi terhadap negara.
Kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan kereta anda sehingga sambutan Hari Malaysia nanti. – UTUSAN
DR. JAYAKUMARY MARIMUTHU, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Jitra, Kedah