SAUDARA PENGARANG,
DALAM setiap organisasi, terdapat hierarki yang mengatur hubungan antara ahli organisasi termasuk dengan ketua. Ketua ialah individu yang memegang tanggungjawab dan kuasa untuk mengarahkan organisasi ke arah diinginkan.
Namun, sebagai ahli organisasi, terdapat masa-masa kita perlu menegur ketua untuk menyampaikan pendapat atau memperbaiki kesalahan yang mungkin berlaku.
Bagaimanapun, menegur ketua perlu dilakukan dengan adab yang baik agar hubungan tetap harmoni dan organisasi dapat berfungsi dengan baik.
Ia boleh dilakukan dengan berbicara dengan nada tenang, menggunakan bahasa sopan dan menghormati pandangan mahupun keputusan ketua.
Selain itu, penting juga untuk memilih waktu dan tempat sesuai. Menemui ketua di pejabatnya atau merancang pertemuan khusus adalah cara yang baik.
Hindari menegur ketua di hadapan umum atau dalam situasi emosi kerana boleh merosakkan hubungan dan mengganggu prestasi organisasi secara keseluruhan.
Memilih waktu tepat juga akan memastikan ketua dapat memberi lebih perhatian dan dapat menerima kritikan atau pandangan yang diberikan.
Selanjutnya, penting untuk menyajikan kritikan atau hujah yang jelas dan rasional. Sebelum menegur ketua, pastikan melakukan penyelidikan atau pengumpulan maklumat mencukupi mengenai masalah yang akan dibincangkan.
Ini akan memperkuat hujah disampaikan dan menunjukkan kritikan yang diberikan berdasarkan fakta dan pemikiran matang. Menyediakan penyelesaian atau alternatif yang konstruktif juga akan membantu ketua dalam mengambil tindakan tepat.
Selain itu, penting untuk memberi peluang kepada ketua menyampaikan pandangan atau penjelasan mereka.
Menegur ketua bukan bererti menyerang atau mengkritiknya tanpa memberikan peluang untuk menjelaskan atau membela diri. Dengar dengan penuh perhatian apa yang akan dikatakan oleh ketua.
Mungkin ada maklumat tambahan atau sudut pandang yang belum dipertimbangkan.Memberi ruang kepada ketua untuk bercakap juga akan mencerminkan adab yang baik dalam berkomunikasi. – UTUSAN
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH, Fakulti Ekonomi & Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)