SAUDARA PENGARANG,
PROGRAM Nilai Ilmu Amalan Membaca (Nilam) merupakan inisiatif yang baik dalam mempromosikan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program ini bertujuan meningkatkan minat dan memperkukuhkan kebolehan membaca pelajar.
Walaupun mempunyai matlamat yang mulia, terdapat beberapa isu perlu diberi perhatian dalam menilai keberkesanan dan ketulenan program ini.
Pertama, Nilam memberikan insentif positif kepada pelajar untuk membaca lebih banyak buku. Ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah buku yang dibaca oleh pelajar sejak diperkenalkan program ini.
Namun, keberkesanan sebenar program ini harus dinilai bukan hanya daripada jumlah buku dibaca, tetapi juga pemahaman dan pengetahuan diperoleh pelajar melalui pembacaan.
Kedua, isu ketulenan program Nilam muncul apabila pelajar hanya menyalin sinopsis di belakang kulit buku untuk direkodkan. Tindakan seperti ini boleh mempengaruhi integriti program kerana ia tidak mengukur pengetahuan sebenar pelajar mengenai isi buku tersebut. Dalam konteks ini, tindakan menilai keberkesanan program perlu memberi tumpuan kepada pemahaman dan aplikasi ilmu yang diperoleh daripada membaca buku-buku tersebut.
Ketiga, program Nilam sepatutnya lebih menitikberatkan sejauh mana pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang mereka peroleh daripada buku-buku tersebut dalam kehidupan sehari-hari.
Keempat, penting untuk mempertimbangkan pelbagai cara bagi mengukur keberkesanan Nilam seperti mengadakan ujian penilaian buku atau projek membaca melibatkan analisis kritis dan pembentukan pemikiran. Ini akan memberi gambaran lebih holistik tentang pencapaian pelajar dalam program ini.
Kelima, sejauh mana ketulenan program Nilam juga perlu dinilai melalui pemantauan teliti terhadap pelaksanaan program di peringkat sekolah. Pentadbir dan guru perlu memastikan pelajar benar-benar terlibat dalam aktiviti membaca yang bermakna dan bukannya hanya sekadar mengejar hadiah atau anugerah.
Akhirnya, program Nilam perlu menitikberatkan hasil jangka panjang seperti pembentukan budaya membaca yang mapan dalam kalangan pelajar. Keberkesanan sejati program ini akan terlihat apabila pelajar terus membaca dan menghargai ilmu sepanjang hayat, bukan hanya semasa mereka berada dalam sistem pendidikan formal.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan
SAUDARA