SAUDARA PENGARANG,
MESKIPUN projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijangka siap pada 2027, sebahagian laluannya telah dibuka kepada pengguna bermula dari Lebuh Raya Karak ke Raub dan dari Padang Tengku Lipis sehingga menghampiri sempadan Kelantan di Merapoh dan Gua Musang.
Beberapa bulan lalu ada disuarakan oleh wakil rakyat supaya membina hentian rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah di sepanjang jajaran LTU ini.
Saya juga pernah membangkitkan dalam ruangan ini beberapa tahun lalu mengenai pembuangan sampah di tepi LTU terutama di daerah Lipis pada musim perayaan. Ini berkemungkinan kerana tiada kemudahan rehat disediakan. Hal ini berlaku juga disebabkan sikap dan pemikiran masyarakat yang masih sempit dan kurang bertamadun.
Oleh itu, Kementerian Kerja Raya dicadang menyegerakan pembinaan R&R terutama antara Bentong dan Raub, Pekan Benta dan Bandar Lipis serta Bandar Lipis dan Gua Musang.
R&R dengan kemudahan jualan buahbuahan dilihat lebih sesuai diwujudkan memandangkan Bentong dan Raub merupakan daerah yang terkenal dengan durian dan nangka madu. Ini secara tidak langsung membantu membuka pasaran bagi hasil pertanian selain memudahkan pengguna jalan raya ini untuk singgah rehat dan membeli buah.
Di samping itu, pihak berwajib sewajarnya menaik taraf dengan memasang lampu jalan di simpang tiga jalan Bentong-Raub ke Kampung Lebu agar lebih selamat berikutan persimpangan tersebut sempit, curam dan bahaya.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur