Sedarkah ibu bapa kesan buruk cahaya biru? - Utusan Malaysia

Sedarkah ibu bapa kesan buruk cahaya biru?

KEMAHIRAN bahasa dan kognitif asas hanya boleh dipelajari apabila kanak-kanak berinteraksi secara langsung dengan orang dewasa dan persekitaran fizikal di sekeliling. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGGUNAAN gajet atau peranti elektronik terutama tablet dan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak khususnya berumur dua hingga empat tahun semakin berleluasa.

Walaupun teknologi digital dapat memberikan peluang pembelajaran dan hiburan, kajian menunjukkan terlalu banyak interaksi dengan peranti ini boleh memberikan kesan negatif kepada perkembangan kanak-kanak.

Berdasarkan pengamatan dan temu bual rawak, antara sebab utama ibu bapa gemar memberikan peranti adalah untuk melekakan kanak-kanak ini daripada kebosanan mahupun memberhentikan tangisan.

Ada juga berpendapat, ibu bapa boleh mengurangkan kos perbelanjaan membeli pelbagai perkakasan dan permainan kanak-kanak kerana kesemuanya boleh digantikan secara maya.

Ada juga ibu bapa berpendapat, kandungan dalam peranti mampu memberi rangsangan kognitif (proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu pembelajaran) bagi mempercepatkan perkembangan golongan cilik ini.

Walau apa pun alasan, penggunaan peranti elektronik sebegini harus dipantau agar tidak keterlaluan sehingga ke tahap ketagihan.

Ada juga ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dengan memberikan kebebasan masa selagi peranti masih mempunyai kuasa bateri.

Penggunaan terlalu lama akan memberi kesan terhadap perkembangan bahasa dan kognitif kanak-kanak.

Selain itu, penggunaan gajet boleh memberi kesan kepada perkembangan motor halus kanak-kanak.

Aktiviti seperti melukis, mewarna dan bermain dengan bahan ­fizikal membantu memperkuatkan kemahiran motor halus mereka.

Bagaimanapun, aktiviti psikomotor yang memerlukan gerak kerja jari dan tangan ini telah digantikan secara interaksi dengan skrin sentuh yang tidak bagus untuk perkembangan otot dan koordinasi kanak-kanak.

Terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan skrin peranti juga boleh mengganggu tidur kanak-kanak.

Kajian menunjukkan pancaran cahaya biru dari skrin boleh mengganggu pengeluaran melatonin, iaitu hormon penting untuk tidur yang sihat.

Bahkan, mampu mengundang keletihan pada otot dan saraf penglihatan serta terdedah kepada risiko rabun pada usia muda.

Selain itu, pendedahan kepada siaran klip video melalui aplikasi YouTube dan TikTok umpamanya akan mendedahkan kanak-kanak kepada saluran tidak sihat dan berkemungkinan besar akan meniru atau mengajuk perlakuan jelik.

Apabila situasi ini berlaku, baharu timbul penyesalan dalam kalangan ibu bapa dan tercari-cari jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Kesimpulannya, pendedahan peranti elektronik pada usia awal kanak-kanak perlu dikawal.

Walaupun teknologi dapat menjadi alat berguna, ia tidak boleh menggantikan sepenuhnya interaksi sosial dan pengalaman fizikal semula jadi yang penting untuk perkembangan awal kanak-kanak. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI dan DR. MOHD HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya