Sayangi alam sekitar seperti mengasihi diri sendiri - Utusan Malaysia

Sayangi alam sekitar seperti mengasihi diri sendiri

MENJAGA alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA perlu menjaga dan memelihara alam sekitar yang merupakan aset penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk di atas muka bumi ini.

Oleh itu, menjaga dan memelihara alam sekitar ini amat penting. Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT, kita tidak terkecuali daripada tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar. Ingatlah, alam sekitar ini juga adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaan-Nya pasti ada sebab dan fungsinya.

Al-Quran dan sunnah memberi penekanan serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar di samping menggesa manusia memanfaatkan khazanah alam ini sebaiknya untuk kebaikan bersama di samping memeliharanya.

Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia di sisi Islam bahkan dianggap ibadat agung disisi Allah SWT.Menjaga alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata.

Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan, keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, kesihatan semua makhluk akan terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.

Orang yang beriman perlu sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan sahaja dalam keadaan aman, malah dalam apa jua situasi. Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayat-ayat Allah SWT yang memperlihatkan sifat-Nya Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Sebenarnya, bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi hak milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT di atasnya.

Setiap umat manusia perlu ingat, kehadiran kita adalah sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi yang juga milik-Nya. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala dikerjakannya.

Ingatlah, tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaga alam sekitar. Ingatlah akan azab Allah SWT seandainya kita mengingkari perintah-Nya! Apa guna hutan batu tinggi melangit, tetapi hutan hakiki botak licin ditarah tangan-tangan manusia. – UTUSAN

MOHD. EFENDI MAT DAUD, Kepala Batas, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya