SAUDARA PENGARANG,
MENGHAYATI prinsip Rukun Negara khususnya yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan dapat ‘mengubati’ keparahan isu sosial dan dangkalnya representasi adab dalam kalangan generasi muda.
Oleh itu, perlu dilihat semula dari aspek pemerkasaan sastera bagi menyemai adab dan sopan pada golongan tersebut. Kewujudan sastera terbukti sebagai alat yang kuat dalam membentuk generasi beradat dan beradab.
Prinsip ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembinaan akhlak individu tetapi juga pembangunan masyarakat harmoni dan bertamadun.
Sastera memiliki daya tarikan tersendiri yang mampu menginspirasi, mendidik dan memberi kesedaran kepada sesiapa yang menghayatinya.
Dengan penekanan tepat, sastera dapat menjadi medium efektif untuk mengajarkan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan kepada generasi muda.
Karya sastera seperti novel, cerpen dan drama dapat memaparkan situasi mengandungi konflik moral dan etika selain memberi peluang kepada pembaca dan penonton untuk merenung serta meresapi implikasi daripada tindakan diambil oleh watak-watak dalam cerita.
Tidak dinafikan sastera dapat memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi contoh teladan mengenai tindakan dan keputusan moral.
Malahan, sastera adalah jendela ke dalam warisan budaya dan tradisi yang mencerminkan kehidupan masyarakat tempatan. Melaluinya, generasi muda dapat memahami akar budaya mereka sendiri.
Bahkan, sastera tempatan juga dapat memperkukuhkan identiti nasional dan menggalakkan sikap hormat terhadap pelbagai budaya.
Selain itu, karya sastera memerlukan kemahiran pemikiran kritis untuk menganalisis watak, tema dan plot. Proses ini merangsang perkembangan pemikiran analitis yang penting dalam penghayatan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.
Sastera juga mampu membantu mengembangkan empati melalui penghayatan pengalaman watak-watak dalam cerita dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap perspektif orang lain.
Kesimpulannya, pemerkasaan sastera sebagai medium untuk membina generasi yang beradat dan beradab adalah langkah bijak.
Dengan mengambil pendekatan kreatif dan relevan, sastera dapat membantu menghidupkan nilai-nilai Rukun Negara kelima dalam jiwa generasi muda, memberi sumbangan kepada pembentukan masyarakat yang bermartabat dan beretika. – UTUSAN
NUR FAATHINAH MOHAMMAD ROSHDAN dan NURUL NISHA MOHD. SHAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau