Sasaran jadi 30 ekonomi terbesar dunia tidak mustahil

Sasaran jadi 30 ekonomi terbesar dunia tidak mustahil

DEMI menjayakan pelaksanaan tiga strategi tersebut, penyampaian dan kefahaman mengenai setiap strategi kepada kerajaan, sektor swasta, rakyat dan negara jiran perlu dilakukan dengan jelas dan komprehensif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA penghujung Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Ekonomi Madani sebagai wadah untuk menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. Demi mencapai hasrat ini, kerajaan bermatlamat mencapai sasaran muncul sebagai 30 ekonomi terbesar dunia dalam jangka masa sederhana.

Anwar menggariskan kerangka Ekonomi Madani yang membolehkan mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 ke 6.0 peratus, seterusnya muncul sebagai negara tersenarai dalam 30 ekonomi terbesar dunia.

Namun, mampukah ia mengukuhkan mata wang sedangkan sesetengah pakar ekonomi mengatakan ringgit berpotensi untuk menyusut ke paras lebih rendah?

Justeru, strategi pertama untuk atasi isu ini ialah melalui pengintegrasian ekonomi yang mendalam dengan negara luar. Melalui strategi ini, syarikat-syarikat tempatan mendapat mandat langsung daripada kerajaan untuk lebih aktif dan berdaya saing dengan pasaran rantau ASEAN. Strategi seperti ini telah pun diguna pakai oleh Indonesia dan Thailand.

Strategi kedua yang dinyatakan Perdana Menteri adalah mengadakan hubungan strategik melangkaui perjanjian perdagangan bebas, seperti pengaturan strategik yang memudahkan pergerakan barang dan perkongsian teknologi. Ini kita dapat lihat apabila Thailand mengadakan hubungan strategik dalam projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) China-Thailand meliputi Bangkok ke wilayah Nong Khai di bahagian utara Thailand yang akhirnya akan menghubungkan Kunming di barat daya China dengan Singapura.

Menurut perjanjian, projek HSR ini memberi kemudahan pergerakan barang yang cepat dan kos efektif antara China dan Thailand. Selain itu, China juga bersetuju untuk berkongsi teknologi, kemahiran dan pengetahuan mengenai projek HSR. Melalui pengaturan strategik ini, syarikat tempatan akan lebih berdaya saing dengan negara jiran, seterusnya mengukuhkan ekonomi dan mata wang baht.

Strategi ketiga ialah mengutamakan nilai tambah dalam industri utama. Pada 2020, Indonesia membuat penstrukturan terhadap ekonomi mereka dengan mengutamakan konsep nilai tambah pada aktiviti hiliran
melibatkan pemprosesan bahan mentah kepada produk siap.

Oleh demikian, demi menjayakan pelaksanaan tiga strategi tersebut, penyampaian dan kefahaman mengenai setiap strategi kepada kerajaan, sektor swasta, rakyat dan negara jiran perlu dilakukan dengan jelas dan komprehensif.

Ini kerana kerangka dan strategi Ekonomi Madani merupakan peta perjalanan ekonomi Malaysia yang baharu. Semoga sasaran menjadi 30 ekonomi terbesar di dunia bakal menjadi kenyataan.-UTUSAN

DR. ADILAH A. WAHAB
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya