Rombak Kabinet jika PH-BN kalah PRK Pulai dan Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Rombak Kabinet jika PH-BN kalah PRK Pulai dan Simpang Jeram

LANGKAH Anwar Ibrahim mengambil masa yang lama untuk merombak Kabinet dilihat sebagai satu langkah berhati-hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkena tamparan hebat selain terpaksa akur apabila majoriti anak muda lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini.

Keputusan PRN tersebut membawa mesej jelas bahawa mereka berkemungkinan menolak dan memprotes kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui peti undi tanpa menyedari tindakan itu sebenarnya boleh menjejaskan reputasi UMNO sebagai parti keramat orang Melayu.

Adakah keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes pecah amanah Yayasan Akalbudi baru-baru ini akan mengembalikan semula kepercayaan sebilangan ahli serta akar umbi terhadap UMNO?

Kajian Ilham Centre baru-baru ini mendedahkan, tahap sokongan pengundi Melayu terhadap Anwar amat membimbangkan, iaitu sekadar memperoleh 24 peratus.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan tinjauan membabitkan 2,416 responden yang dipilih secara persampelan rawak berstrata di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Hanya 24 peratus orang Melayu berkata mereka berpuas hati dengan Anwar berbanding masyarakat Cina (88 peratus) dan India (81 peratus) yang amat positif.

Antara punca mengapa Perdana Menteri kurang mendapat sokongan adalah mereka menuntut supaya Anwar mengotakan janji-janjinya.

Bagi penjawat awam pula, mereka masih menganggap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang Perdana Menteri yang baik. Ini kerana penjawat awam kurang terkesan semasa pandemik Covid-19 termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram hari ini menjadi perhitungan antara hidup dan mati gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) selain menjadi petanda, adakah gelombang hijau di utara dan pantai timur benar-benar merebak ke selatan negara?

Seandainya PH-BN kalah atau mengalami banyak kemerosotan jumlah sokongan undi, maka Anwar tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Jika keadaan mendesak, Anwar tiada pilihan melainkan melakukan rombakan kecil barisan jemaah menterinya.

Bagaimanapun, kita masih percaya usaha dan kerja keras pemimpin kerajaan perpaduan dalam meyakinkan pengundi-pengundi majoriti orang Melayu akan berhasil.

Namun, mengambil masa yang agak lama kerana sesuatu kejayaan gabungan PH-BN bukanlah boleh dicapai dalam masa yang singkat. – UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya