Risau kemampuan komunikasi jadi ‘cacat’ kerana media sosial - Utusan Malaysia

Risau kemampuan komunikasi jadi ‘cacat’ kerana media sosial

REMAJA adalah salah satu golongan pengguna media sosial yang aktif di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEDIA sosial menjadi pilihan untuk berkomunikasi dengan statistik Data Reportal-Global Digital Insights pada awal tahun ini menunjukkan terdapat lebih 33 juta pengguna internet di negara ini.

Sekitar 26.8 juta daripadanya adalah pengguna media sosial. Remaja adalah salah satu golongan pengguna media sosial yang aktif dengan pelbagai platform menjadi pilihan utama mereka seperti Instagram, X, TikTok dan YouTube.

Penggunaan berlebihan media sosial ternyata mempengaruhi kemampuan pengguna untuk berkomunikasi secara lebih efektif terutama dalam situasi bersemuka.

Remaja yang cenderung menggunakan media sosial untuk berinteraksi mungkin mengalami kesulitan dalam berkomunikasi secara bersemuka.

Mereka lebih cenderung untuk berkomunikasi melalui teks berbanding bercakap secara berdepan.

Justeru, mereka akan mengalami kesulitan dan kurang kemampuan untuk memahami bahasa bukan lisan seperti ekspresi wajah, gerak tubuh serta nada suara yang akhirnya menyebabkan golongan ini tidak berupaya berkomunikasi secara efektif.

Kesan lain akibat penggunaan media sosial secara berlebihan juga akan mengurangkan kemampuan remaja untuk mengekspresikan diri dengan perkataan yang tepat kerana kecenderungan kepada penggunaan emoji.

Emoji digunakan menggantikan ekspresi perasaan dan emosi semasa mereka berkomunikasi.

Bagaimanapun, penggunaan emoji kadangkala kurang tepat untuk menggambarkan emosi sebenar.

Malah, mereka juga lebih cenderung menggunakan bahasa singkatan seperti LOL (laugh out loud), BRB (be right back), dan IDK (I don’t know).

Hal tersebut menyebabkan mereka tidak biasa menggunakan bahasa formal dan efektif secara berdepan.

Sekiranya remaja berada dalam majlis sosial, mereka juga sukar untuk bersosial dengan tetamu atau orang lain dan akan kelihatan terasing serta kekok dan tidak selesa apabila berada dalam kumpulan yang ramai. – UTUSAN

ZAIHA AHMAD, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya