SAUDARA PENGARANG,
RASUAH yang dahulu dikenali sebagai tumbuk rusuk, makan suap atau duit kopi, menjadi topik hangat. Fenomena ini kini meluas dan tidak lagi terhad kepada kakitangan lelaki seperti berlaku pada zaman dahulu. Semakin ramai wanita juga dituduh dalam mahkamah kerana rasuah, menunjukkan isu ini tidak mengenal jantina.
Rasuah terus menjadi cabaran besar dalam masyarakat dan tindakan tegas perlu diambil demi keadilan dan integriti dalam pentadbiran negara.
Selain itu, dahulu rasuah cenderung hanya melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan tertentu. Namun, sekarang sudah meresap dalam institusi keagamaan.
Kes rasuah muncul setiap hari seolah-olah ada yang tidak takut dengan hukuman.
Pendakwaan demi pendakwaan nampaknya tidak memberi kesan. Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan lebih keras.
Sewajarnya, hukuman bagi pesalah rasuah harus ditingkatkan sebanding jenayah lain seperti pengedar dadah, penyelundup atau pembunuh. Ini kerana rasuah adalah akar kepada banyak masalah sosial.
Oleh itu, hukuman penjara lebih lama dan sebatan adalah langkah yang patut dipertimbangkan. Mungkin hukuman sebat akan memberi pengajaran lebih efektif kepada mereka yang terlibat dalam rasuah.
Selain itu, kita juga perlu melihat kepada peranan ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang. Mereka perlu membawa isu ini ke dalam persidangan Parlimen. Usaha ini akan membantu mengukuhkan hasrat Perdana Menteri untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah. Masyarakat perlu melihat wakil-wakil rakyat komited untuk menangani isu ini dengan serius.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan