Promosi negara sebagai destinasi pelaburan menarik

Promosi negara sebagai destinasi pelaburan menarik

PEMBANGUNAN dalam industri automotif dapat meningkatkan pelaburan asing sekali gus daya saing dalam pasaran global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UNTUK meningkatkan ekonomi domestik, terdapat beberapa strategi boleh dilaksanakan.

Pertama, kerajaan perlu memberikan insentif kepada syarikat-syarikat untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan. Kerajaan perlu memudahkan perkongsian antara sektor awam dan swasta bagi mempromosikan pemindahan teknologi serta pengetahuan meliputi pelbagai insentif kewangan seperti potongan cukai, subsidi atau pemberian geran penyelidikan.

Dengan ini, syarikat-syarikat akan lebih cenderung untuk melabur dalam penyelidikan yang dapat membantu meningkatkan kebolehgunaan produk, mencipta produk baharu dan meningkatkan pengeluaran.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan inisiatif dan program yang memudahkan kolaborasi antara institusi penyelidikan, universiti dan syarikat swasta. Ini dapat membolehkan pemindahan teknologi dan pengetahuan yang lebih berkesan, menjana sinergi dan mempercepatkan kemajuan dalam inovasi dan pembangunan produk.

Selain itu, negara juga perlu terus membangunkan sektor industri utama seperti elektronik, automotif, perkhidmatan kewangan dan pelancongan. Ini boleh dicapai melalui pelaburan dalam infrastruktur, pembangunan kemahiran pekerja serta peningkatan daya saing dalam pasaran global.

Negara perlu melabur dalam infrastruktur dan kemahiran untuk mempertingkatkan keupayaan pengeluaran elektronik. Ini termasuk membangunkan pusat pembuatan yang canggih, memastikan bekalan bahan mentah berkualiti dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang teknologi elektronik.

Selain itu, kerajaan perlu berusaha untuk menarik pelaburan asing dalam sektor ini dengan menawarkan insentif kewangan dan kelebihan kompetitif lain.

Sementara dalam sektor perkhidmatan kewangan, negara perlu terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan serantau. Ini melibatkan peningkatan kecekapan dan kebolehpercayaan dalam perkhidmatan kewangan, pembangunan modal insan berkualiti dalam bidang kewangan dan penggunaan teknologi maklumat yang canggih untuk memperbaiki proses perkhidmatan. Jadi, kerajaan perlu melaksanakan peraturan yang cekap dan berkesan bagi memastikan integriti dan kestabilan sektor ini.

Pembangunan sumber manusia berkualiti, meningkatkan akses pendidikan dan latihan vokasional untuk memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang relevan dengan pasaran pekerjaan semasa amat perlu.

Bahkan, kerajaan dan institusi kewangan perlu bekerjasama bagi menyediakan pelbagai insentif dan program pembiayaan yang memudahkan akses modal untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam era digital yang semakin pesat, kemahiran digital juga perlu ditingkatkan dalam kalangan rakyat dan perniagaan selain meningkatkan kelestarian alam sekitar dengan mempromosikan inisiatif hijau bagi memastikan pembangunan ekonomi berlaku secara lestari memandangkan ia menyediakan sumber daya alam yang penting seperti air, tanah, hutan dan mineral.

Terakhir, negara perlu dipromosikan sebagai destinasi pelaburan menarik kepada pelabur asing melalui insentif, perundangan yang bersahabat dan kerjasama dengan negara lain dalam perdagangan antarabangsa.-UTUSAN

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Fakulti Ekonomi & Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya