SAUDARA PENGARANG,
KAMI mengambil serius segala maklum balas yang diterima berhubung isu perkhidmatan Rapid Bas. Kami juga memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi semasa menunggu bas untuk ke Ampang.
Untuk makluman, terdapat dua laluan bas yang melalui jalan Ampang iaitu Laluan 300 (Pandan Indah-Lebuh Ampang) dan Laluan 303 (Mulia Jaya-Lebuh Ampang). Bagi Laluan 300, kekerapan bas adalah lima hingga 10 minit dari pukul 6.30 pagi hingga 10 malam manakala selepas pukul 10 malam, kekerapan laluan tersebut adalah 20 minit.
Bagi Laluan 303, kekerapan bas dari pukul 5 pagi hingga 6 petang adalah 15 hingga 20 minit, manakala kekerapan bas dari pukul 6 petang hingga 9 malam adalah 30 minit. Selepas waktu itu hingga 11.30 malam, kekerapan adalah 40 minit.
Namun demikian, kami akan menilai semula kekerapan laluan tersebut dan laluan-laluan lain, selaras dengan usaha untuk menambahbaik perkhidmatan secara amnya.
Kami juga mengambil maklum akan kekurangan perkhidmatan bas dan sedang berusaha menambah baik untuk jangka masa panjang.
Berikut adalah langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan:
1. Menambah bilangan bas bagi memastikan kekerapan dapat ditambah dan diselaraskan.
Kami mensasarkan untuk menambah sebanyak 460 buah bas ke dalam pengoperasian pada 2024.
2. Menambah bilangan kapten bas
Kami sedang giat berusaha untuk menambah bilangan kapten bas selaras dengan penambahan bas keseluruhannya. Untuk tujuan itu, pihak pengurusan telah meluluskan pakej gaji dan elaun yang lebih tinggi bagi menarik minat orang ramai selain telah pun menambah dan melatih seramai 590 orang kapten bas baharu yang akan memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.
3. Menilai penggunaan bas-bas yang bersaiz lebih kecil bagi memastikan lebih banyak kawasan perumahan dapat dimasuki.
4. Bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi laluan khas bas.
Hasil usaha sama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kami telah pun melancarkan projek laluan khas bas di koridor Jalan Ampang (dari RISDA ke Jalan Tun Razak) dan projek ini telah pun membuahkan hasil yang memberangsangkan dengan lebih 15% tambahan penumpang. Kami akan menilai melaksanakan projek yang sama di koridor-koridor lain.
Pihak kami akan sentiasa memantau pengoperasian perkhidmatan bas dan akan terus membuat penambahbaikan demi keselesaan dan kemudahan penumpang.-UTUSAN
MOHD AZHARUDDIN
Prasarana Malaysia Berhad
(Prasarana)