SAUDARA PENGARANG,
SAMBUTAN Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu disambut penuh meriah di seluruh negara.
Sambutan di Dataran Putrajaya yang dihadiri lebih 100,000 pengunjung adalah kali pertama di bawah kerajaan perpaduan yang mengambil alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sambutan bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan memperlihatkan penyatuan rakyat apabila bersama-sama meraikannya dengan penuh meriah dalam semangat luar biasa.
Apabila menyaksikan perarakan yang dijayakan oleh 17,262 peserta, kita dapat melihat penglibatan rakyat pelbagai usia, kaum, agama dan latar belakang demi meraikan kemerdekaan negara.
Bagaimanapun, tidak memadai semangat perpaduan diterjemahkan sewaktu meraikan Hari Kebangsaan sahaja kerana ia sepatutnya menjadi budaya kita sepanjang masa.
Dalam erti kata lain, kerajaan perlu menyatukan rakyat pelbagai kaum dengan perpaduan sebenar dan bukan bersifat kepura-puraan, iaitu disambut pada bulan tertentu sahaja.
Jika kita mahu perpaduan sebenar-benarnya, kerajaan seharusnya melakukan sesuatu yang mungkin tidak disukai terutama dari sudut pendidikan, iaitu menggantikan sekolah vernakular (sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sesuatu kaum) kepada sekolah kebangsaan.
Banyak pihak memperkatakan sekolah pelbagai aliran sukar untuk memesrakan anak-anak, jauh sekali membentuk jati diri dan semangat kekitaan serta sukar membentuk perpaduan.
Oleh itu, semangat perpaduan yang ditunjukkan pada sambutan Hari Kebangsaan akan dapat berkekalan. Bukan hanya diterjemahkan untuk satu hari, kemudian hilang.
Kita mahukan semangat perpaduan yang dibentuk belasan tahun melalui bumbung sekolah yang sama dan semangat itu akan kekal utuh selama-lamanya.
Oleh itu, sama-samalah kita rakyat Malaysia bersatu hati agar perpaduan dapat diterjemahkan dalam bidang pendidikan.
Ini kerana sekolah yang akan menyatukan hati, menautkan kasih sayang, rasa hormat-menghormati dan saling menyayangi walaupun berlainan kaum dan agama. – UTUSAN
SUKA PATRIOTIK, Pahang