Perlu didik diri sendiri tidak baca tajuk berita sahaja

Perlu didik diri sendiri tidak baca tajuk berita sahaja

WALAUPUN pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang ramai masih gemar menyebarkan berita palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era digital yang serba pantas, maklumat dan berita dapat disebarkan dengan begitu mudah. Malah kebergantungan kepada media sosial juga semakin meningkat dalam memperoleh capaian berita, maklumat tentang sesuatu isu atau perkara, perhubungan dan interaksi serta banyak lagi.

Berdasarkan statistik Data Reportal, jumlah pengguna media sosial di negara ini sehingga Januari lalu dianggarkan 26.8 juta. Keadaan ini jelas menunjukkan media sosial mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan masyarakat dan menjadi rujukan utama untuk menjalani kehidupan seharian.

Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, maka pengguna media sosial harus mempunyai keupayaan bagi menganalisis, menilai dan memahami semua kandungan yang diperoleh secara kritis. Maka disinilah literasi media mengambil tanggungjawab bagi memberikan pendidikan kepada masyarakat khususnya pengguna media sosial agar dapat menavigasi landskap digital dengan penuh berhemah dan mengamalkan sikap profesional.

Maka untuk menjadikan seseorang individu mempunyai literasi media, dia haruslah mampu mencipta kandungan, menyampaikan mesej, membezakan antara fakta dan pendapat serta mengenal pasti maklumat tidak tepat dan propaganda.

Dalam era digital kini, masyarakat di seluruh dunia seakan karam dalam lautan maklumat. Aliran maklumat berterusan dari pelbagai sumber menyebabkan timbulnya cabaran hebat untuk membezakan maklumat tepat dan boleh dipercayai serta sebaliknya melalui pelbagai platform.

Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif membanteras penyebaran berita palsu melalui penerapan amalan Tidak Pasti, Jangan Kongsi, maklumat tidak tepat dan berunsurkan kontroversi mudah merebak dengan cepat sehingga membawa kepada kegelisahan dan timbulnya situasi tidak tenteram.

Maka dengan kemahiran literasi media ini diharapkan dapat membantu individu mengenali taktik biasa digunakan bagi memanipulasi maklumat seperti mengumpan dengan tajuk kontroversi, pengeditan terpilih dan petikan di luar konteks. Selain itu mereka perlu dididik untuk menyemak kesahihan fakta dan mengesahkan maklumat.

Literasi media juga mampu memupuk kemahiran berfikir kritis dengan menggalakkan individu menyoal, menganalisis dan mencari pelbagai perspektif apabila memperoleh sesuatu maklumat selain pastikan masyarakat dididik untuk tidak hanya membaca tajuk berita tetapi membudayakan membaca artikel dan memahami berita dengan baik. Keadaan ini secara tidak langsung mampu melahirkan masyarakat yang lebih arif, analitikal dan berpengetahuan.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya