SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram berpihak kepada parti dari kerajaan perpaduan. Walaupun peratusan keluar mengundi dikatakan agak rendah disebabkan faktor cuaca, namun apa yang penting adalah gelombang hijau melanda utara dan pantai timur tanah air tidak membadai di bumi selatan, iaitu Johor. Syabas dan tahniah ditujukan buat para penyokong UMNO yang tidak termakan hasutan dan dakyah pembangkang.
Tentunya kemenangan ini signifikan atas gabungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) yang berjaya menidakkan pengaruh Pas di bawah payung Perikatan Nasional (PN).
Faktor sentimen agama, raja dan kaum (3R) bukan lagi alasan sebaliknya reputasi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri kembali mendapat kepercayaan rakyat.
Kebetulan pula Parlimen akan bersidang untuk pembentangan Bajet 2024.
Justeru, diharapkan momentum di sebalik kemenangan dicapai ini akan dapat menyuntik moral dan semangat perpaduan dalam kalangan ahli serta penyokong UMNO dan PH untuk terus menzahirkan rasa setia bersama kerajaan yang memerintah di Pusat.
Kemenangan di kedua-dua kerusi itu menjadi indikator awal bahawa gelombang merah biru (PH-BN) semakin mula diterima rakyat yang berkemungkinan membuka peluang cerah untuk memenangi PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Pahang, Oktober nanti.
Ini juga jelas membuktikan pengundi Johor lebih celik dan memahami senario politik negara berbanding pengundi di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dilihat kurang matang dan lekas terpengaruh dengan persepsi hukum atau terlalu mengikut emosi tanpa berpijak pada asas pemikiran rasional.
Makanya kita menyeru dan mengajak rakyat di luar sana terutama ahli dan penyokong UMNO untuk menolak secara total politik ekstrem yang memecah belahkan perpaduan kaum. Sebaliknya mereka perlu terus setia dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO untuk bersama-sama Perdana Menteri berganding bahu membina dan memulihkan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang