SAUDARA PENGARANG,
PELAKSANAAN Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,500 bermula 1 Mei 2022 membabitkan majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih telah disambut penuh gembira oleh golongan pekerja.
Bagaimanapun, penangguhan diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja yang hanya perlu melaksanakannya bermula 1 Julai lalu.
Namun, ramai yang tidak mengetahui PGM itu hanya terpakai kepada syarikat swasta dan tidak dikuatkuasakan kepada badan berkanun yang merujuk kepada agensi separa kerajaan ditubuhkan di bawah peruntukan sesebuah akta Parlimen atau enakmen Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu terdedah selepas beberapa pekerja kesihatan di sebuah hospital pengajar milik sebuah universiti di Kuala Lumpur yang berada dalam kategori badan berkanun masih tidak menerima gaji minimum RM1,500 sebulan.
Apabila pekerja-pekerja tersebut bertanya kepada pihak pengurusan sumber manusia hospital mengenai gaji minimum, maka dengan mudahnya dijawab bahawa PGM hanya tertakluk kepada sektor swasta dan bukannya kerajaan.
Pekerja-pekerja tersebut telah cuba memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Subang, Selangor dan diberitahu oleh pegawai di situ mengenai perkara sama, iaitu PGM hanya tertakluk kepada sektor swasta dan bukannya kerajaan.
Walaupun kerajaan menetapkan dasar dan perundangan bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja dan memastikan dapat menyara hidup, kerajaan sendiri tidak mempraktikkan prinsip ini apabila melibatkan pekerjanya sendiri.
Dwistandard ini bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat pada kerajaan tetapi juga menghantar mesej yang mengecewakan kepada orang ramai.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memimpin melalui teladan dan apabila gagal melaksanakan undang-undang gaji minimum dalam institusinya sendiri, ia bukan sahaja mengekalkan ketidaksamaan tetapi juga melemahkan rasa yakin terhadap institusi kerajaan yang diberi mandat untuk melindungi rakyat.
Dengan mengabaikan aspek penting dasar buruh ini dalam agensi kerajaan, ketidaksamaan pendapatan masih akan dikekalkan dan mewujudkan persekitaran di mana ramai pekerja berdedikasi yang berkhidmat di sektor masing-masing mengalami kesusahan untuk memenuhi keperluan hidup harian.
Untuk merapatkan jurang antara dasar dan amalan ini, adalah penting untuk kerajaan mengutamakan layanan saksama terhadap semua pekerja tanpa mengira majikan mereka dan komited untuk menguatkuasakan gaji minimum dengan ketat di seluruh negara.
Kerajaan diseru memperbetulkan isu ini dengan segera, mengutamakan jaminan kewangan dan maruah pekerjanya di samping menjadi teladan baik untuk amalan buruh yang adil di seluruh negara.
Kementerian Sumber Manusia perlu segera mengarahkan satu pemantauan pelaksanaan gaji minimum yang tegas dan teliti terhadap semua jabatan kerajaan dan badan berkanun untuk memastikan tiada pihak tidak melaksanakan perintah gaji minimum.
Kementerian terbabit juga perlu memastikan jabatan-jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar ini dilatih dengan baik dan dipastikan menjalankan tugas mereka secara konsisten dan jujur.
Ini amat penting untuk memastikan dasar yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan itu akan dipraktikkan dan bukannya menjadi satu dasar kosong.
Kami bersedia untuk bekerjasama dengan penggubal dasar demi mewujudkan masyarakat lebih adil dan saksama untuk semua. – UTUSAN
BIRO PEKERJA, Parti Sosialis Malaysia (PSM)