SAUDARA PENGARANG,
SEMUA pihak harus mengelak daripada memberi sebarang cadangan memperkenalkan apa-apa subjek atau kursus baharu untuk dipelajari sama ada di peringkat sekolah ataupun institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini bagi mengelak pelajar daripada berasa terbeban dan tertekan untuk mengikuti subjek sedia ada atau baharu.
Semenjak akhir-akhir ini terdapat banyak cadangan subjek dikemukakan melibatkan isu semasa seperti rasuah, proses pilihan raya, agama, moral dan lain-lain lagi. Cadangan seperti ini sudah menjadi satu ‘penyakit’ dalam negara. Walaupun cadangan itu kelihatan menarik serta dapat menambah ilmu pelajar, namun ia perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum dilaksanakan.
Kita juga tidak mahu pelajar menghadapi tekanan emosi dan mental untuk mempelajari banyak subjek atau kursus. Tekanan emosi dan mental boleh membawa kesan buruk terhadap aspek kesihatan. Oleh itu, segala usaha yang ingin diambil bagi mendidik pelajar perlulah realistik dan tidak membawa beban atau tekanan jangka panjang.
Persoalan kini harus dilontarkan kepada semua pihak, adakah kita ingin terus membebankan pelajar untuk mempelajari semua perkara yang gagal dihayati oleh orang dewasa? Sekiranya ingin memperkenalkan sebarang subjek ataupun kursus baharu, kita seharusnya meminta semua orang dewasa mempelajarinya kerana banyak isu ataupun masalah sosial serta jenayah yang berlaku melibatkan dan dilakukan oleh orang dewasa, bukannya golongan belia dan masih bersekolah.
Kita harus bersikap lebih realistik dalam perkara ini kerana amat mustahil untuk pelajar mempelajari segala isu berkaitan dengan semua isu, masalah sosial ataupun jenayah yang berlaku di serata dunia di dalam kelas mahupun dewan kuliah.
Mereka adalah manusia biasa dan bukannya robot. Kesian juga kepada guru ataupun pensyarah yang terbeban dengan pelbagai jenis tugas hakiki dan tanggungjawab sedia ada di sekolah mahupun IPT.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)