Papar nombor telefon bimbit penguat kuasa - Utusan Malaysia

Papar nombor telefon bimbit penguat kuasa

POSTER promosi Program Jualan Rahmah perlu juga memaparkan nombor telefon pegawai penguat kuasa untuk rakyat membuat aduan. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROGRAM Jualan Rahmah (PJR) menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran setempat.

Ia adalah inisiatif kerajaan perpaduan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mengurangkan bebanan kos sara hidup.

Pelaksanaan ini sebenarnya sangat baik dan diterima oleh rakyat kerana harganya yang murah dan menjimatkan perbelanjaan.

Bagi menambah baik pelaksanaannya, dicadangkan poster promosi PJR tidak hanya memaparkan harga jualan tetapi perkara yang wajib ada ialah nombor telefon pegawai penguat kuasa.

Ini bagi membolehkan pengguna membuat aduan jika wujud sebarang ketidakpuasan hati sama ada melibatkan layanan pihak pembekal, pasar raya atau apa jua isu yang menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati.

Sebarang maklum balas termasuk dari aspek pengurusan PJR sama ada cekap atau lembab serta segala cadangan penambahbaikan perlu diambil tindakan segera bagi memastikan kerajaan perpaduan dilihat benar-benar prihatin rakyat.

Ini sangat penting supaya imej kerajaan tidak tercalar dengan pelaksanaan program tersebut.

Selain itu, pegawai terlibat dengan PJR perlu turut memantau harga-harga barangan dijual dan memastikan bekalan mencukupi. Ini penting supaya PJR tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, perlu diadakan pemantauan terhadap rekod pembekalan dan penjualan kepada rakyat sepanjang PJR bagi melihat apakah barang keperluan yang menjadi pilihan utama mereka.

Jika penjualan beras menjadi keutamaan ataupun ayam mentah, maka kerajaan perlu meningkatkan penjualan barangan keperluan tersebut.

Langkah ini penting supaya kerajaan boleh bertindak segera untuk membantu menyediakan barangan amat diperlukan pada harga berpatutan kepada rakyat.

Ia juga dapat meredakan tekanan hidup rakyat yang dibelenggu isu peningkatan kos sara hidup dan pada masa sama boleh meningkatkan imej kerajaan perpaduan. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya