Murid sekolah rendah lebih minat jadi usahawan? - Utusan Malaysia

Murid sekolah rendah lebih minat jadi usahawan?

MEMPERKENALKAN aktiviti keusahawanan seawal di bangku sekolah boleh mewujudkan pandangan positif kanak-kanak terhadap bidang perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESEBUAH negara akan makmur ekonominya apabila aktiviti keusahawanan hidup subur. Kesuburan ekonomi sesebuah negara banyak bergantung kepada jumlah syarikat dan perniagaan yang didaftarkan.

Berikutan itulah, Hungary, Finland, New Zealand, Sweden, Itali dan Amerika Syarikat mempunyai kadar pendaftaran syarikat dan perniagaan baharu yang begitu tinggi saban tahun.

Persoalannya, mengapakah negara-negara tersebut begitu mementingkan rakyatnya mewujudkan firma-firma baharu dan bagaimana mereka membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan masyarakat?

Penekanan kepada pendidikan formal bagi melatih kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar haruslah bermula seawal di sekolah rendah lagi.

Langkah awal melatih kemahiran ini kepada pelajar sekolah sangat mendesak berikutan pembentukan psikologi, karektor, cara fikir, jati diri bahkan cita-cita mereka sedang terbentuk pada skala waktu semasa mereka di alam kanak-kanak.

Memperkenalkan aktiviti keusahawanan seawal di bangku sekolah boleh mewujudkan pandangan positif kanak-kanak terhadap bidang it.

Hal demikian ini kerana zaman kanak-kanak dianggap sebagai peringkat ideal untuk mendidik dan membangunkan sikap positif terhadap pembudayaan keusahawanan sekali gus membentuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan mereka.

Idea ini disokong oleh ramai pakar psikologi kanak-kanak yang mendapati 25 peratus daripada murid sekolah rendah menunjukkan ciri-ciri keusahawanan yang sangat penting.

Secara bandingan, hanya tiga peratus pelajar sekolah menengah menunjukkan ciri-ciri sama.

Berpandukan kepada data sedia ada, agensi kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan sebuah program khas bagi memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan murid sekolah rendah seawal umur lapan tahun bagi melahirkan generasi yang bakal mencorak masa depan ekonomi negara.

Program dirangka perlu lebih menumpukan kepada memperkasakan kemahiran keusahawanan pada peringkat awal usia kanak-kanak yang pada asasnya cenderung terhadap pembinaan sifat dan perwatakan berdikari, bertanggungjawab, optimistik dan tidak mudah berputus asa.

Oleh itu, pembelajaran keusahawanan pada peringkat awal kanak-kanak boleh diintegrasikan dalam kurikulum melalui program atau aktiviti dirancang oleh pihak sekolah yang pelaksanaannya bukan sahaja melibatkan guru tetapi juga ibu bapa. – UTUSAN

DR. ROSSIDI USOP, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya