SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia pada 4 September lalu bertajuk Hanya 15.2 peratus pelajar pilih sains. Ia menyebut hanya 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke tingkatan empat bagi sesi 2023/2024.
Jumlah itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara yang mahu melahirkan bakat bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tempatan bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Laporan itu memetik kenyataan Pengerusi dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Noraini Idris. Bagi mengatasi masalah tersebut, semua pihak terutama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mencari punca kepada trend kemerosotan pelajar memilih aliran sains.
Sebenarnya terdapat satu isu lain yangsangat membimbangkan berkaitan dengan STEM iaitu kecenderungan murid-murid untuk mempelajari subjek Matematik semakin merudum dari tahun ke tahun.
Sekiranya tidak dirawat, tentu ia boleh menjadi virus kepada kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang. “Siapa yang nak belajar ni?”, “Nak uji apa sebenarnya ni?” dan “Menteri Pendidikan mesti lakukan sesuatu segera”.
Begitulah lontaran dan keluhan oleh ibu bapa mengenai isu ini. Silibus pendidikan Matematik adalah berdasarkan kepada kurikulum pendidikan Malaysia. Ia merupakan kurikulum semakan tahun 2017 yang telah ditambah baik daripada kurikulum yang diguna pakai sebelum ini.
Persoalannya, dimanakah silapnya apabila isu ini sering timbul saban tahun dan menjadi antara topik perdebatan yang seperti tiada kesudahan oleh semua pihak. Adakah kurikulum pendidikan Matematik di Malaysia terlalu kompleks sehingga menyukarkan pelaksanaannya.
Terdapat pelbagai pendapat mengenai isu ini termasuk silibus pendidikan Matematik di Malaysia terlalu rumit dan sangat terperinci jika dibandingkan dengan kurikulum pendidikan Matematik negara lain.
Guru di Malaysia menghadapi kesukaran untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana terlalu banyak perkara dan garis panduan yang perlu diikut.
Sebaiknya, kurikulum pendidikan kebangsaan tidak boleh terlalu terperinci kerana ia hanya merupakan satu kerangka bagi menyediakan ruang secukupnya kepada guru untuk melaksanakan PdP mengikut kemahuan dan kepakaran mereka sendiri.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa isi kandungan silibus pendidikan Matematik sekarang amat menyeluruh dan mencakupi pelbagai bidang untuk murid-murid.
Ia merupakan sesuatu yang bagus kerana boleh menyediakan murid dengan ilmu pengetahuan yang baik untuk digunakan dalam kehidupan seharian mereka.
Namun, murid-murid menghadapi kesukaran untuk memahami konsep asas Matematik yang mana amat penting untuk mereka, disebabkan oleh pelbagai tajuk yang perlu dipelajari mereka dalam enam tahun pengajian di peringkat sekolah rendah.
Hal ini juga menimbulkan masalah kepada murid kerana guru perlu mengejar semua tajuk pembelajaran yang ada dan secara langsung akan menyebabkan murid yang sedikit lambat akan tercicir dan akhirnya menyebabkan mereka merasa bahawa Matematik adalah subjek yang sukar.
Justeru, menjadi harapan masyarakat agar berlaku perubahan dalam isu ini. Pembuat dasar pendidikan Malaysia perlulah lebih memfokuskan kepada keperluan murid apabila membuat polisi supaya perkembangan murid dapat dicapai secara menyeluruh.
Guru perlu selalu mendengar suara murid untuk sentiasa menambah baik PdP sedia ada.-UTUSAN
CIKGU AM
Sekolah Kebangsaan Taman Permata,