SAUDARA PENGARANG,
KEHADIRAN media sosial mahupun internet pada masa kini sememangnya memberikan 1,001 kemudahan kepada masyarakat dunia.
Ia juga sering digunakan sebagai satu platform eskapisme bagi sesiapa yang ingin berehat daripada dunia realiti buat seketika.
Namun, terdapat juga individu yang menyalahgunakan kemudahan teknologi ini untuk tujuan negatif, contohnya, perbuatan intai siber.
Ini bererti aktiviti pengintai bukan seperti zaman dulu-dulu yang hanya melibatkan aspek fizikal.
Kajian penyelidik, Gurpreet Dhillon dan Kane J. Smith pada 2019 bertajuk Menentukan Objektif untuk Mencegah Intai Siber menunjukkan perbuatan mengintai maya muncul sebagai ancaman yang semakin meningkat kepada masyarakat dunia, terutama dengan percambahan medium internet dan media sosial.
Tambahan, intai siber membolehkan pelaku menggunakan peranti elektronik untuk mengintai individu lain di ruangan siber, menceroboh privasi peribadi serta mengancam dengan niat tidak baik secara berulang.
Pengintai maya bukanlah satu isu baharu lebih-lebih lagi di negara ini. Sejak kehadiran media sosial, isu ini semakin kerap muncul dan membimbangkan pelbagai pihak serta dikhuatiri mampu mengubah sistem dan landskap kehidupan masyarakat.
Hal ini turut disokong menerusi pendedahan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2020 di mana hasil kajian menunjukkan lebih satu pertiga daripada 1,008 responden termasuk 39 peratus wanita pernah mengalami intipan atau intai siber.
Baru-baru ini juga tular isu seorang pempengaruh media sosial di negara ini yang diganggu dan diintip bertahun-tahun lamanya.
Perkara ini bukan sahaja membahayakan diri mangsa malah memberi impak kepada kesihatan mental dan membawa kepada serangan panik.
Situasi itu juga boleh menyebabkan mangsa mengasingkan diri daripada berjumpa orang ramai disebabkan takut dan perasaan tidak selamat.
Pada 29 Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Acara Jenayah bagi menjadikan menghendap oleh penghendap secara fizikal dan dalam talian sebagai satu jenayah.
Rentetan itu, Seksyen 507A baharu dimasukkan di bawah Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap/mengintai termasuk perbuatan yang dianggap sebagai kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman, iaitu penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Perkara ini dilihat sebagai satu usaha amat baik. Ini kerana walaupun gangguan secara maya tidak membawa kesan secara fizikal, namun ia tetap mengganggu mental dan emosi mangsa bahkan boleh mencapai tahap kronik.
Justeru, semua individu mahupun masyarakat haruslah bekerjasama dan berganding bahu menangani isu sosial ini dengan membuat laporan dan membawa hal ini ke peringkat lebih tinggi supaya kes berkaitan intipan secara maya mahupun secara fizikal dapat dikurangkan ke paras paling minimum. – UTUSAN
DR. NAZRA ALIFF NAZRI dan SITI BALKIS MOHAMED IBRAHIM, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)