SAYA tertarik membaca coretan Minda Pengarang tulisan Pengarang Berita Kanan, Ismail Daud dalam Utusan Malaysia pada 7 September lalu bertajuk Gabungkan UPSR, PT3, PBS dan PBD.
Beliau memetik laporan mengenai hanya 15.2 peratus daripada 415,000 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika memasuki tingkatan empat bagi sesi 2023/24 sebagai situasi yang menggusarkan.
Beliau membuat andaian ketiadaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mungkin sebagai punca kemerosotan tersebut.
Mungkin juga ada benarnya kebimbangan beliau itu.
Dengan ketiadaan UPSR, seolah-olah tiada apa yang ingin dikejar oleh murid, ibu bapa dan guru. Murid hilang fokus. Guru seperti terkapaikapai. Ibu bapa pula tidak tahu apa yang ingin dibantu.
Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) tidak segah UPSR. Tidak seperti UPSR dahulu semua akan ambil perhatian dan terlibat secara aktif untuk memastikan pencapaian murid pada tahap cemerlang.
Semua ibu bapa dan komuniti setempat berganding bahu membantu pihak sekolah.
Sudah sampai masanya UASA diangkat dan dijenamakan untuk menggantikan UPSR. Kita mahu guru dan ibu bapa bersungguh-sungguh memastikan murid lulus dalam setiap mata pelajaran UASA.
Bagaimanapun, Pentaksiran Berasas Sekolah dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) perlu diteruskan untuk tahun satu hingga lima sahaja, sementara murid tahun enam tumpukan kepada UASA sebagai ujian akhir di sekolah rendah.
Semoga murid, guru dan ibu bapa lebih fokus dengan adanya pentaksiran UASA sebagai tanda akhir persekolahan di sekolah rendah.-UTUSAN
MANOLITO
Pahang.