SAUDARA PENGARANG,
DI Malaysia dan beberapa negara lain seperti Indonesia dan Brunei, sambutan Maulidur Rasul atau Hari Kelahiran Nabi SAW diraikan pada setiap 12 Rabiulawal tahun Hijrah bertujuan mengingati dan menghayati kembali keagungan insan yang paling mulia ini dalam membebaskan manusia daripada akidah yang menyesatkan.
Justeru, seruan atau mesej utama disampaikan baginda kepada umat manusia ialah menyeru untuk mentauhidkan Allah dan beribadat hanya kepada-Nya tanpa mensyirik atau menyekutukan-Nya dengan apa jua, termasuk hawa nafsu sendiri.
Wahyu menjadi landasan penting dalam membimbing dan memberi cahaya kepada akal manusia kerana pemikiran mudah terkesan (tercemar) dengan persekitaran mereka sehingga menjejaskan fitrah kepercayaan ketuhahanan dan boleh membentuk kepercayaan serta adat budaya yang mengandungi unsur khurafat dan kesesatan.
Baginda adalah pembawa hidayah, nikmat, pemberi khabar gembira, pemberi amaran dan rahmat.
Keperibadian baginda sarat dengan keteladanan dalam semua aspek kehidupan.
Kepemimpinan bagida wajar dicontohi sama ada sebagai pemimpin dalam keluarga, masyarakat, negara dan arena antarabangsa.
Penulis Barat seperti Michael H. Hart dalam bukunya 100 Most Influential People In The World menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.
Kepemimpinan Rasulullah berjaya menyatukan seluruh penduduk di Kota Madinah. Kesan daripada tarbiah baginda, maka lahirlah insan-insan hebat dalam kalangan sahabat sebagai pendakwah dan pemimpin (pemerintah) atau khalifah yang cekap dan adil.
Baginda mendidik dengan cahaya rabbaniah untuk melayakkan mereka melaksanakan sepenuhnya amanah dan sentiasa mengikuti jalan kebenaran dan berada di atas jalan yang lurus, sekali gus mengangkat ketinggian martabat manusia.
Baginda menyuruh umatnya mengasihi anak yatim dan golongan miskin. Baginda sendiri pernah hidup yatim setelah bapanya meninggal dunia semasa baginda dalam kandungan ibunya.
Kesimpulannya, umat Islam mestilah mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan yang utama. Justeru, umat Islam wajar memanfaatkan sambutan Maulidur Rasul ini dengan memetik hikmah atau pengajarannya.-UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas.