Mahu Ahmad Zahid ‘berehat’ demi UMNO

Mahu Ahmad Zahid ‘berehat’ demi UMNO

DESAKAN meminta Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden UMNO bukan kerana benci tetapi kerana terlalu menyayangi parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UMNO merupakan sebuah parti keramat yang dianggap sebagai parti nasionalisme orang Melayu. Menurut perlembagaannya, UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, bumiputera, anak negeri Sabah, Sarawak dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara. Parti ini juga memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Namun, sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, parti itu tidak lagi sekuat dahulu. Banyak nama besar berundur dan menyertai parti lain.

Bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya atas dasar bertanggungjawab berikutan kekalahan parti itu selepas 61 tahun pentadbiran dalam kerajaan.

Kali ini selepas UMNO sekali lagi tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan pada PRU15 lalu, banyak desakan meminta, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Presiden.

Desakan ini bukan kerana benci tetapi kami sangat menyayangi parti. Lagipun sudah tiba masa parti ini memerlukan perubahan yang selari dengan kehendak semasa.

Jika dilihat, ramai rakyat dan ahli masih sayangkan parti, masih mahu UMNO dalam kerajaan namun mereka tidak boleh menerima tindakan ‘rakus’ presiden yang menghukum dan memecat seseorang ahli seperti beliau sahaja yang betul. Ahli-ahli UMNO merasakan tindakan beliau itu tidak betul dan mengecewakan.

Apa yang perlu diingat, UMNO ini parti untuk semua orang Melayu, bukannya hak milik individu.

Kami masih memerlukan khidmat dan pengalaman Ahmad Zahid, namun demi masa depan UMNO, saya yang juga merupakan ahli untuk tempoh lebih 50 tahun berharap presiden ‘berehat.’-UTUSAN

YAHYA MAMAT
Wakaf Bharu, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya