Lupakah pesanan Tun Abdul Razak? - Utusan Malaysia

Lupakah pesanan Tun Abdul Razak?

ABDUL Razak Hussein (tengah) mengetuai Majlis Perundingan Nasional (NCC), iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAMBUTAN Hari Kebangsaan yang baru berlalu jelas mempamerkan kesungguhan kerajaan untuk mewujudkan perpaduan selaras dengan tema ditetapkan, iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Semua rakyat pelbagai kaum dan agama perlu bersatu dalam mencapai kemajuan dan kejayaan negara. Bersatu dalam konteks perpaduan melibatkan usaha serius berterusan untuk bersama menghormati perbezaan, memahami budaya dan membina kepercayaan dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Antara usaha untuk bersatu dalam kepelbagaian adalah meningkatkan pendidikan dan kesedaran tentang kepelbagaian budaya, adat resam dan agama.

Usaha berterusan ini perlu melibatkan semua pihak, khususnya institusi keluarga dan tidak boleh hanya mengharapkan sekolah semata-mata.

Satu platform untuk perbincangan dan dialog antara pelbagai lapisan masyarakat perlu diwujudkan. Kaedah ini dikira sangat penting kerana ia dapat menyediakan ruang untuk saling bertukar pandangan dan idea dalam keadaan penuh muhibah.

Hubungan sosial khususnya melalui projek-projek kemanusiaan yang membantu semua lapisan masyarakat terutama apabila ditimpa musibah berbentuk bencana alam seperti banjir, perlu sentiasa diperkukuh dan dilestarikan kerana usaha ini perlu berterusan yang tiada noktah akhir.

Dalam pada itu, salah satu usaha yang dikira sangat penting untuk rakyat pada hari ini adalah kembali menghayati dan menterjemahkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian, sebagaimana ditekankan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Pada saat beliau mengetuai Majlis Perundingan Nasional, iaitu badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara, Abdul Razak berpesan bahawa rahsia kejayaan Rukun Negara adalah pada keupayaan rakyat menerjemahkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh jujur dan ikhlas.

Rukun Negara diperkenalkan pada 1970 berikutan peristiwa 13 Mei 1969, sebuah titik hitam yang secara tidak langsung merupakan satu manifestasi kerapuhan perpaduan antara kaum.

Perpaduan kaum adalah aset utama negara dan menjadi prasyarat utama kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957.

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan sangat harmoni. Prinsip-prinsip terkandung di dalamnya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kesejahteraan negara secara keseluruhan.

Bagaimanapun, hampir 66 tahun merdeka, Rukun Negara masih dilihat belum menjadi saluran perpaduan yang mantap dalam membentuk negara bangsa penuh dengan nilai kemesraan.

Sebagai rakyat, kita perlu menerima nilai-nilai bersama dalam Rukun Negara sebagai titik persamaan yang mempersatukan kita.

Dengan kata mudah, lemah atau kuat, aman atau damai kehidupan dalam aspek perpaduan, semuanya bergantung kepada keupayaan mengamalkan setiap prinsip yang ada padanya dengan penuh kesungguhan dan kejujuran.

Kegagalan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian menjadikan Rukun Negara hanya tinggal sekadar dokumen ideologi kebangsaan dan rakyat seumpama kehilangan roh patriotik. – UTUSAN

DR. RATNA ROSHIDA AB. RAZAK, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya