SAUDARA PENGARANG,
RASA kecewa apabila anak saya yang merupakan lepasan diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan rakan-rakannya gagal menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) berikutan pelbagai kerenah birokrasi.
Anak saya telah menghubungi Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UPSI untuk mendapat penjelasan atas kegagalan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Jawapan diberikan pihak berkenaan kerana tidak mempunyai sijil Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET). Sekiranya alasan ini diguna pakai, mengapa ada pelajar yang tidak mempunyai MUET berjaya untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah?
Di sini kemungkinan berlaku ketirisan atau tidak ada integriti ketika membuat pemilihan. Mengapa universiti lain boleh menerima pelajar yang tidak ada sijil MUET untuk meneruskan pengajian sedangkan UPSI tidak?
Hampir semua kumpulan anak saya tidak berjaya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Hal ini sudah tentu mematahkan semangat pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
Malahan usaha pelajar bertungkus lumus membuat persiapan menghadapi temu duga juga disia-siakan. Beberapa orang kawan anak saya yang merupakan pelajar terbaik dan mempunyai sijil MUET juga gagal menerima tawaran.
Apa dikesali, pihak BHEA UPSI hanya membuka dua program untuk pengambilan kedua, iaitu Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) dan Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) setelah ramai pelajar tidak berpuas hati apabila universiti itu hanya mengadakan satu pengambilan bermula Oktober ini, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang mempunyai dua pengambilan.
Justeru, ramai pelajar lepasan diploma UPSI meminta BHEA untuk membuka lebih banyak program bagi pengambilan kedua pada November nanti terutama bidang sains dan bahasa bagi memberi peluang kepada pelajarnya sendiri untuk meneruskan pengajian.
Jangan jadi seperti peribahasa, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. – UTUSAN
IBU KESAL, Kuala Lumpur