SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN pihak pendakwaan untuk memohon supaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menimbulkan pelbagai persoalan.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh memberikan jawapan, Jabatan Peguam Negara dengan bantuan pelbagai pihak terutama pihak penyiasatan masih menyiasat kesemua bukti baharu berkaitan kes dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid.
Beliau berkata, sebarang keputusan sama ada mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri itu atau mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat selepas siasatan lebih terperinci dan komprehensif selesai.
Sebenarnya kita tidak faham bagaimana kes melibatkan pengubahan wang berjuta-juta ringgit ini boleh menemui pengakhiran begitu sahaja.
Dalam kes ini, prima facie telah dibuktikan wujud dan pembelaan telah dipanggil. Pada 24 Januari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri.
Ini membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Kejadian ini jelas membuktikan, mana-mana pihak yang sedang melalui siasatan dan kes mahkamah tidak harus dibenarkan memegang jawatan sebagai ahli Kabinet kerana sentiasa akan wujud desakan untuk menggugurkan tuduhan terhadapnya.
Oleh itu, adalah dituntut, pertama, pihak pendakwaan menyambung kes terhadap Ahmad Zahid dan kedua, beliau perlu meletak jawatannya serta-merta bagi kelangsungan kes secara adil.
Ketiga, pasukan pendakwaan ditukar kepada pasukan lain untuk memastikan sebarang unsur berat sebelah dihapuskan. – UTUSAN
ARVEENT KATHIRTCHELVAN, Kuala Lumpur