Kata sayang alam sekitar, maka buktikanlah! - Utusan Malaysia

Kata sayang alam sekitar, maka buktikanlah!

TANPA hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI seorang mukmin, kita tidak terkecuali daripada tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar.

Ingatlah, alam sekitar ini juga adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaan-Nya pasti ada sebab dan fungsinya.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud:

“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), alam sekitar membawa maksud suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat tertentu.

Ia bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari semasa ke semasa.

Al-Quran dan sunnah telah memberikan satu penekanan serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia supaya mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya demi kebaikan bersama di samping memeliharanya.

Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung di sisi Islam bahkan dianggap sebagai ibadat agung di sisi Allah SWT.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fi zikal semata-mata.

Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan, maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan.

Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis.

Terdapat ayat al-Quran menyebut, alam sekitar dan seluruh cakerawala ini adalah tanda kebesaran Allah SWT Yang Maha Pencipta.

Orang-orang beriman perlu sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan sahaja dalam keadaan aman, malah dalam apa jua situasi.

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi hak milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah-Nya di atasnya.

Justeru, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita ini adalah sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi yang juga milik-Nya.

Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala dikerjakannya.

Ingatlah, tanggungjawab kita adalah untuk memelihara serta menjaga alam sekitar dan ingatlah akan azab Allah SWT seandainya mengingkari perintah-Nya.

Kata sayang alam sekitar, maka buktikanlah wahai rakyat Malaysia. Kalau pandang kejora di langit biru, jangan lupa rumput hijau di bumi. – UTUSAN

MOHD. EFENDI MAT DAUD, Kepala Batas, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya