SAUDARA PENGARANG,
KEBIASAANNYA apabila menyambut Hari Kebangsaan, maka yang paling banyak disoroti ialah peranan golongan nasionalis daripada pendidikan Melayu dan Inggeris memperjuangkan kemerdekaan negara.
British hanya bersedia berunding dan memberikan kemerdekaan ke tangan golongan tersebut berbanding ulama atau agamawan yang dianggap radikal.
Oleh itu, peranan ulama atau agamawan dalam menentang penjajah dan kemerdekaan negara terutama gerakan menentang British wajar diketahui dan dihargai oleh generasi muda Melayu terutama selama sebulan kita menyambut Hari Kebangsaan.
Sejarah merakamkan dalam usaha membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British, golongan ulama bangkit meniupkan semangat jihad menentang penjajah Barat tersebut.
Gerakan menentang British dipimpin golongan ulama ini terserlah pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Malah, jika mahu disoroti lebih awal lagi, perjuangan golongan ulama dapat dikesan sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Bukan mudah penjajah menakluki mana-mana kesultanan Melayu apabila ulama memainkan peranan dalam istana sebagai penasihat sultan.
Ada ulama ketika itu terkorban melawan penjajah seperti Yang Dipertuan Muda Riau keempat, iaitu Raja Haji di Teluk Ketapang, Melaka dalam cubaan merampas kembali negeri itu daripada penjajah Belanda.
Pada abad ke-20 hampir kesemua negeri Melayu jatuh ke tangan British satu demi satu bermula pertengahan abad ke-18. Pelbagai helah dan cara Inggeris menawan negeri-negeri Melayu termasuk memperdaya raja- raja Melayu melalui perjanjian-perjanjian yang dibuat.
Akhirnya British berjaya meletakkan residen dan penasihat-penasihat mereka di untuk mengawal pentadbiran dan hasil kekayaan negeri-negeri Melayu.
Para ulama tidak berdiam diri dan mereka bangkit bersama rakyat menentang British pada abad ke-19 dan ke-20. Malah ada perjuangan ulama itu turut disokong oleh pembesar-pembesar tempatan yang tidak mahu mengikut telunjuk British.
Tuan Guru Hassan Munas yang dikenali sebagai Tok Janggut bangkit menentang British hingga bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada 1915.
Sultan Kelantan ketika itu tidak menyebelahinya kerana termakan hasutan British bahawa Tok Janggut mahu menawan dan menguasai istana. Tok Janggut dicap sebagai penderhaka kepada sultan dan mati ‘syahid’ dalam serangan tentera British yang didatangkan dari Negeri-Negeri Selat menggunakan nama Sultan Kelantan.
Abdul Rahman Abdul Hamid atau dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong pula bangkit di Terengganu memimpin rakyat yang kebanyakannya kaum petani menentang British.
Beliau merupakan seorang ulama yang menuntut di Mekah dan apabila kembali ke Terengganu menjadi seorang guru agama. Beliau juga anak murid tokoh ulama besar Terengganu iaitu Tok Ku Paloh.
Walaupun bergelar ulama tetapi beliau tetap memimpin kebangkitan menentang British pada 1922, 1925 dan 1928. Tentangan secara terbuka itu dikenali sebagai Gerakan Petani yang kemuncaknya pada 1928.
Beliau menentang penindasan British termasuk ketidakadilan dalam memperkenal undang-undang cukai yang membebankan masyarakat Melayu. Beliau akhirnya berjaya ditahan oleh British dan dibuang negeri ke Mekah.
Kesimpulan, siri-siri penentangan orang Melayu terhadap British yang dipimpin oleh ulama berlaku kerana penjajahan memberi kesan buruk terhadap kedaulatan tanah air dan kesejahteraan penduduk peribumi yang terpaksa menanggung pelbagai bentuk penindasan.
Kebangkitan mereka juga adalah untuk memelihara agama (akidah) umat Islam dari dipesongkan oleh penjajah.-UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas