SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kenyataan media pada 5 September lalu telah mengarahkan setiap institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk merangka sendiri garis panduan aktiviti hiburan (konsert).
Dalam garis panduan tersebut, KPT meminta penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaiannya di setiap IPT dan lokaliti, sebelum ia diguna pakai secara rasmi di universiti masing-masing.
Sebenarnya, menggalakkan penganjuran program hiburan di universiti awam adalah satu inisiatif penting untuk pembangunan menyeluruh pelajar. Namun, kita perlu memberi perhatian kepada beberapa cabaran berikut termasuk pertama, sensitiviti budaya.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai landskap budaya yang pelbagai, dengan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama. Adalah sangat penting untuk memastikan bahawa program hiburan menghormati dan tidak menyinggung sensitiviti pelbagai kumpulan budaya dan agama.
Dengan erti kata lain, dalam mempromosikan kepelbagaian budaya, sensitiviti budaya juga perlu dijaga supaya tidak timbul sebarang unsur-unsur kontroversi mahupun provokasi dalam masyarakat.
Kedua, impak sosial. Masyarakat bimbang tentang kemungkinan acara hiburan yang mendorong kepada isu-isu sosial seperti penyalahgunaan bahan terlarang, luntur adab sopan ketimuran dan kemerosotan moral dalam kalangan pelajar.
Menangani kebimbangan ini sambil tetap membenarkan penganjuran program hiburan di kampus yang menyeronokkan tetapi tetap bermanfaat merupakan pelaksanaan yang agak mencabar.
Ketiga, prestasi akademik. Ada sesetengah pihak melahirkan rasa bimbang jika pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti hiburan, ia akan memberi kesan negatif kepada prestasi akademik. Mencapai keseimbangan antara akademik dan penglibatan insaniah adalah cabaran asas bagi pelajar dan universiti.
Keempat, hubungan komuniti. Universiti dilihat sebagai salah satu institusi penting dalam sesuatu daerah atau komuniti.
Persepsi atau reaksi negatif dari warga sekitar mengenai kebisingan, kesesakan lalu lintas atau insiden yang tidak diingini di kawasan setempat akibat penganjuran sesuatu acara boleh menjejas hubungan baik antara institusi dan komuniti.
Kelima, pematuhan peraturan. Memastikan program hiburan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, termasuk pelesenan untuk persembahan dan pematuhan kepada kod keselamatan, boleh menjadi tanggungjawab pentadbiran yang kompleks kepada penganjur.
Jika semua cabaran tersebut dipertimbangkan, ia dapat mengurangkan risiko negatif dan meningkatkan manfaat program hiburan kampus. Garis panduan yang berkesan dan komunikasi yang jelas adalah penting untuk menangani cabaran-cabaran ini dan memastikan program hiburan menyumbang secara positif kepada pengalaman pendidikan keseluruhan pelajar di universiti awam Malaysia.
Kita tidak boleh lupa bahawa universiti bukan semata institusi pengajian akademik tetapi juga berupaya sebagai pentas untuk pembangunan holistik generasi berilmu masa depan.-UTUSAN
AZLAN WANTI
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)