Jangan fobia Hadis 40 Imam Nawawi

Jangan fobia Hadis 40 Imam Nawawi

HADIS 40 Imam Nawawi boleh menjadi nilai tambah kepada kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Dakwah Negara (MDN) Kelantan menyokong hasrat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memperkenalkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah yang disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.

Kandungan hadis berkenaan adalah lebih kepada membentuk seseorang menjadi manusia lebih baik dengan menjaga hubungan dengan Pencipta dan hubungan sesama manusia serta makhluk lain.

Hadis terbabit boleh menjadi nilai tambah kepada kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada yang merangkumi beberapa komponen termasuk al-Quran dan hadis di samping hal-hal berkaitan sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Penambahan modul hadis 40 seperti yang dicadangkan oleh Fadhlina tidak ada sebab yang perlu digeruni atau ditakuti oleh masyarakat bukan Islam.

Tidak ada dalam hadis terbabit yang membincangkan tentang galakan menentang masyarakat bukan Islam, bahkan kandungannya menggalakkan perpaduan. Contohnya, hadis ke-13 bertajuk Pentingnya Persaudaraan dan hadis ke-16 dengan tajuk Jangan Marah.

Apa yang penting, kebanyakan tajuk dalam modul hadis 40 adalah berkaitan menjaga atau menyucikan hati daripada sifat-sifat keji. Kesan daripada pembersihan hati ini sudah pasti impaknya akan membawa keharmonian dan kelestarian.

Ia bukan sahaja bermanfaat kepada umat Islam bahkan masyarakat Malaysia keseluruhannya yang pelbagai agama dan bangsa.

MDN Kelantan menyeru semua rakan dari agama lain agar tidak memfobiakan isu ini sehingga menimbulkan rasa takut, gerun atau bimbang.

Kami yakin ia juga disokong oleh paderi atau sami agama lain kerana kandungannya membawa kebaikan kepada semua, bukan menghasut untuk masuk Islam.-UTUSAN

DR. AZIZAH HUSSIN
Setiausaha 2 Majlis Dakwah
Negara (MDN) Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya