SAUDARA PENGARANG,
PENARIKAN 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini adalah sesuatu yang mengejutkan.
Ini kerana melawan rasuah mestilah bermula daripada pihak yang berada di puncak kuasa. Kepimpinan negara perlu mempunyai integriti dan kekuatan untuk melawan rasuah.
Selain itu, slogan melawan rasuah akan hanya sekadar retorik memualkan jika tiada pelaksanaan yang telus.
Mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah menolak kerajaan kleptokrat dipimpin oleh Barisan Nasional (BN)-UMNO.
Dalam kempen Pakatan Harapan (PH) sama ada dalam ceramah umum atau media sosial, naratif dibawa adalah BN dan UMNO ini parti perompak dan penyamun.
UMNO dan BN pula menyerang PH khususnya DAP yang dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Apabila PH bekerjasama dengan UMNO untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, para pengundi berasa mereka tertipu.
Wujud persoalan prinsip, adakah yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat?
Parti politik seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengetengahkan dan mempersoalkan keputusan kes-kes berprofil tinggi tetapi dilemparkan dengan pelbagai tohmahan pengkhianatan dan diwujudkan satu persepsi bahawa mereka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Adakah wajib untuk sebuah parti politik dalam satu blok untuk menyokong segala tindakan dilakukan walaupun ia bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan?
MUDA dan PSM menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai batu asas kepada sistem demokrasi negara.
Pembaharuan institusi harus mengutamakan prinsip dan dibuat secara objektif serta telus tanpa mengutamakan keperluan untuk menyelamatkan naratif politik sahaja.
Adalah penting untuk mendapatkan semula kepercayaan pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai. Jika tidak, agenda reformasi hanya retorik. – UTUSAN
MUHAMMAD ISA NAHOO GANI, Sungai Siput, Perak