SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini tular mengenai keadaan air Sungai Pahang yang semakin surut dan fenomena luar biasa ini berlaku terutama di Maran. Fenomena ini dikatakan pernah berlaku 20 tahun lalu, namun tidak begitu serius seperti baru-baru ini.
Sudah pasti cara dan jalan mudah untuk mengalihkan timbunan pasir yang begitu banyak adalah dengan mengorek sungai menjadi dalam. Pasir yang merupakan bahan eset bernilai kepada kerajaan negeri pula boleh dijadikan hasil negeri melalui Permit Pengeluaran Pasir dan sebagainya.
Namun, tidak semua pasir mempunyai nilai yang sama. Maka pihak berwajib sewajarnya memikirkan kaedah dan cara mengendalikannya.
Pun begitu, aktiviti ini boleh diibaratkan seperti pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ini kerana sekiranya permit pengeluaran pasir dikeluarkan sama ada kepada syarikat besar, sederhana atau kecil, mereka akan menggunakan jentera yang akan menyebabkan air sungai menjadi keruh selain menjejaskan kehidupan ikan yang diternak dalam sangkar.
Keadaan ini pernah berlaku di Temerloh beberapa tahun lalu apabila Permit Pam Mengorek Pasir terpaksa dihentikan selepas menerima aduan daripada penternak ikan sangkar yang terjejas akibat aktiviti pengorekan pasir. Aktiviti pengorekan itu menyebabkan air sungai menjadi lebih keruh dan menjejaskan ternakan ikan sangkar yang akhirnya merugikan nelayan sungai.
Namun sekiranya pasir tidak dikorek pula, ia bukan sahaja menjadi masalah kepada penternak ikan sangkar, malah dasar Sungai Pahang akan semakin cetek, Secara semula jadi jika berlaku hujan lebat di hulu sungai dalam tempoh yang lama akan mempercepatkan berlakunya banjir kerana limpahan air sungai mudah menenggelamkan tebing sungai. Ini mendatangkan kerugian dan kerosakan harta benda.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang