SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI kita tahu, kes penderaan kanak-kanak melibatkan pelaku ahli keluarga atau kakitangan taska masih lagi berlaku.
Oleh itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mengambil langkah proaktif menangani gejala terbabit.
Di sini saya ingin mengesyorkan beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasinya.
Pertama, sediakan pasukan pemeriksaan mengejut dan rawak di semua taska terdiri daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), persatuan penduduk dan orang ramai.
Kedua, mewajibkan pengusaha taska memasang kamera litar tertutup (CCTV). Ketiga, berikan insentif berbentuk wang tunai kepada orang ramai yang melaporkan kes-kes penderaan di taska.
Keempat, mengenakan hukuman lebih keras kepada penjenayah terbabit dengan meminda akta lapuk.
Disarankan ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara meneliti akta sedia ada untuk dikaji mengikut kesesuaian semasa serta peredaran zaman.
Kelima, ibu bapa dan penjaga juga perlu meningkatkan komunikasi dan melakukan pemeriksaan ke atas tubuh si kecil dan bertanya soalan-soalan berkenaan sikap penjaga di taska.
Keenam, bagi mengelak didera oleh ibu atau bapa tiri, ahli keluarga kepada kanak-kanak itu seperti datuk, nenek atau ibu bapa saudara yang tidak tinggal bersama perlulah sekali-sekala melawat anak-anak kecil ini.
Keluarga terdekat tidak sewajarnya mementingkan diri sendiri sehingga mengabai dan tidak peduli keadaan anak buah yang berhadapan segala kemungkinan jika tinggal dengan keluarga tiri mahupun keluarga angkat.
Ketujuh, komuniti setempat termasuk persatuan penduduk, kariah masjid dan surau perlu peka dan bertindak proaktif jika mendapat maklumat terdapat kanak-kanak dalam lingkungan setempat yang disyaki menjadi mangsa dera.
Kelapan, media sosial adalah medium penting menyalurkan segera maklumat kes-kes penderaan kepada pihak berkuasa. Tiada lagi istilah ‘jangan jaga tepi kain orang.’
Kesembilan, KPWKM perlu melipatgandakan kempen kesedaran isu penderaan kanak-kanak kepada orang awam menerusi media sosial dan akhbar bagi memastikan anggota masyarakat sentiasa peka dengan persekitaran.
Misalnya, jika terdengar anak-anak kecil dalam kejiranan yang kerap menangis atau terdapat kesan parut.
Di kesempatan ini juga semua pihak sama ada orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat perlu bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa.
Ini bagi menangani serta melapor dengan segera sekiranya disyaki berlaku kes penderaan bagi mengekang gejala ini yang semakin kronik. – UTUSAN
MADANI BIN MITHALI, Kuala Kangsar, Perak