SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN tawaran kemasukan untuk pelajar mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) telah diketahui.
Bagaimanapun, apa yang dikesalkan, ada pelajar diploma universiti awam terpaksa berputih mata kerana tidak layak untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah tahun ini walaupun berada di semester akhir.
Ini berlaku hanya disebabkan mereka terpaksa menjalani latihan industri (intern) yang terlalu lama.
Seperti anak saya yang mengikuti pengajian Diploma Keusahawan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sepatutnya tamat pengajian tahun ini tapi gagal dalam permohonan untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah di semua universiti awam.
Alasan diterima adalah disebabkan status pelajar yang masih belum menamatkan pengajian sehingga tarikh permohonan ditutup.
Sehingga hari ini, pelajar diploma masih mengikuti latihan industri yang telah berlarutan selama empat bulan dan akibatnya mereka masih berstatus pelajar walaupun telah hampir tiga tahun mengikuti pengajian.
Sebagai ibu, sudah tentu keadaan ini amat mengecewakan kerana latihan industri yang terlalu lama menyebabkan pelajar tidak dapat menamatkan pengajian, seterusnya tidak layak memasuki mana-mana IPTA tahun ini.
Difahamkan bukan anak saya seorang sahaja yang gagal dalam permohonan tetapi seluruh pelajar dalam kelas tersebut gagal termasuk yang mendapat keputusan cemerlang setiap semester.
Kesemua mereka ini hanya akan layak memasuki universiti pada tahun depan dan sudah tentu ia merugikan tahun pembelajaran gara-gara hanya perlu menamatkan latihan industri yang terlalu panjang.
Yang menariknya, ada pelajar program diploma lain di UPSI hanya menjalani latihan industri dalam tempoh tiga bulan dan mereka diterima masuk ke IPTA tahun ini kerana status mereka telah tamat pengajian.
Persoalan utama saya, kenapa pelajar program diploma perlu terlalu lama mengikuti latihan industri dan menyebabkan mereka ketinggalan setahun untuk melanjutkan pengajian? Lainlah jika mereka pelajar ijazah.
Sebagai ibu, saya berharap UPSI dapat memperbaiki program tersebut pada tahun depan. Jangan rugikan masa pelajar hanya kerana latihan industri.
Kami tidak boleh buat apa kecuali jika Kementerian Pendidikan Tinggi boleh campur tangan agar pelajar diberi peluang untuk memasuki universiti tahun ini juga melalui rayuan pengambilan kedua.-UTUSAN
IBU PRIHATIN
Merbok, Kedah