SAUDARA PENGARANG,
DAYA cipta komuniti luar bandar atau secara akademiknya dipanggil sebagai inovasi akar umbi luar bandar telah lama dikaji oleh penyelidik di dalam dan luar negara.
Ia diperakui mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.
Lebih mengagumkan, meskipun inovasi atau penyelesaian kepada permasalahan setempat dibangunkan dalam konteks luar arus perdana penyelidikan dan pembangunan tetapi banyak inovasi daripada golongan ini dilihat lebih kompleks, sofistikated dan lebih mesra alam dengan suntikan elemen pengetahuan tradisional.
Bagaimanapun, terdapat juga cabaran dan halangan terutama dalam faktor ekonomi dan geografi. Aktiviti inovasi sememangnya menelan belanja signifikan termasuk lokasi mereka yang jauh dan terpencil menyukarkan akses dan komunikasi secara berkesan.
Para inovator di kawasan pedalaman sering kali menghadapi masalah teknikal dan kekurangan infrastruktur, malah sukar mendapatkan bantuan pakar dan pekerja mahir.
Kebanyakan mereka perlu mempertingkatkan pengetahuan asas seperti kemahiran teknikal dan keselamatan bagi memastikan reka ciptanya tidak memberikan mudarat kepada diri dan penduduk tempatan.
Selain itu, inovator di kawasan pedalaman juga rata-ratanya masih kurang kesedaran terutama tentang kepentingan perlindungan harta intelek khususnya dari segi perlindungan terhadap ilmu tafsir dimiliki mereka.
Segala masalah dihadapi oleh para inovator akar umbi di kawasan pedalaman sebenarnya telah lama diberi perhatian sewajarnya oleh agensi pembangun inovasi ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) Akar Umbi (MaGRIs) misalnya telah membantu mempertingkat usaha pembangunan dan pengkomersialan merangkumi penyediaan peluang pembinaan kapasiti. Program ini terbukti berpotensi menambah nilai produk inovasi daripada pembangunan prototaip kepada prapengkomersialan.
Pada masa kini, YIM dalam usaha membangunkan Dasar Inovasi Sosial untuk memantapkan ekosistem dan landskap inovasi sosial negara dengan menggariskan sistem sokongan secara bersasar kepada pemegang taruh inovasi sosial.
Namun, bagi menjamin masa depan inovator akar umbi di luar bandar ini, satu kerangka polisi yang jelas perlu diformulasikan. Dengan adanya kerangka hala tuju yang jelas, usaha-usaha pembangunan dan pemerkasaan inovasi akar umbi ini dapat direalisasikan secara lebih sistematik dan holistik.-UTUSAN
DR. MOHD. ISTAJIB MOKHTAR DAN PROFESOR MADYA DR. NG BOON KWEE
Universiti Malaya