Influenza boleh jadi ancaman baharu - Utusan Malaysia

Influenza boleh jadi ancaman baharu

GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA secara rasminya adalah negara yang semakin menua dengan lebih 3.8 juta rakyatnya berumur 60 tahun dan ke atas, bersamaan hampir 11.3 peratus daripada populasi kita.

Kita mesti memikirkan apakah impak angka ini terhadap masa depan negara. Ini kerana menjelang 2030, angka ini akan terus meningkat sehingga melebihi 15 peratus.

Dalam masyarakat kita, ramai tidak meneliti kaitan antara influenza (demam selesema teruk yang berlaku secara tiba-tiba) dan warga emas.

Tetapi bagi mereka yang terlibat dengan profesion penjagaan kesihatan, ia mempunyai kaitan tidak boleh diabaikan.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, sehingga Minggu Epidemiologi ke-23 bagi 4 hingga 10 Jun, terdapat 93 kluster influenza dilaporkan di seluruh negara, iaitu peningkatan sebanyak 210 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Baru-baru ini juga menunjukkan hospital semakin penuh disebabkan peningkatan kes influenza. Angka ini memberitahu kita bahawa influenza ada di mana-mana dan memberi ancaman yang nyata kepada warga emas.

Oleh itu, kerajaan perlu memberikan vaksinasi in­fluenza percuma untuk warga emas. Langkah ini penting kerana in­fluenza boleh membawa maut terutama dalam kalangan warga emas.

Apabila semakin tua, sistem imun akan merosot secara beransur-ansur yang menjadikan badan lebih sukar bertindak balas terhadap jangkitan dan menyebabkan mereka lebih cenderung berdepan dengan komplikasi influenza seperti pneumonia (radang paru-paru) yang boleh menyebabkan kematian.

Sebanyak 85 peratus daripada semua kematian berkaitan influenza berlaku dalam kelompok umur 65 tahun dan ke atas.

Warga emas lebih berkemungkinan menghidapi masalah kesihatan dan in­fluenza memberi kesan lebih buruk kepada mereka yang menghidap penyakit kronik.

Penyakit kronik seperti diabetes dan kolesterol tinggi menjadi semakin lazim dengan peningkatan umur.

Bagi pesakit diabetes, influenza boleh menyukarkan lagi usaha mengawal paras gula dalam darah. Dalam sesetengah kes, ia menyebabkan paras gula mencanak naik ke tahap berbahaya.

Risiko kematian akibat influenza pula adalah lima kali ganda lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang menghidapi masalah jantung dan 20 kali ganda lebih tinggi bagi mereka yang menghidapi penyakit jantung dan paru-paru.

Dalam pada itu, Asia Tenggara menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kematian berkaitan influenza tetapi hanya dua hingga tiga peratus rakyat Malaysia menerima vaksinasi influenza secara tahunan.

Ramai rakyat Malaysia yang tidak mendapat perlindungan terhadap virus mudah berjangkit sepanjang tahun itu disebabkan kurangnya kesedaran dan salah tanggapan yang ia bukan satu keperluan mendesak serta tidak mahu menanggung kos vaksin influenza.

Pada ketika ini, sangat penting untuk rakyat sedar bahawa vaksinasi influenza boleh menyelamatkan nyawa.

Terdapat banyak bukti bahawa vaksinasi in­fluenza berpotensi untuk mencegah komplikasi serius dan kematian.

Kajian menunjukkan ia membantu mengurangkan kejadian kardiovaskular, kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas.

Bahkan, vaksinasi influenza untuk kumpulan berisiko tinggi adalah langkah yang menjimatkan wang.

Menguruskan influenza dan komplikasinya menelan banyak sumber penjagaan kesihatan dengan kos langsung dan tidak langsung meningkat selaras pertambahan umur serta keperluan untuk kemasukan ke hospital selain kehilangan produktiviti. – UTUSAN

DATUK DR. CHRISTOPHER K.C. LEE, Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya