SAUDARA PENGARANG,
PELAN pembangunan induk Putrajaya telah dirancang untuk memiliki sistem transit aliran ringan (LRT) yang kemudiannya diganti dengan sistem monorel. Malangnya projek monorel Putrajaya ditangguhkan pada 2004.
Salah satu puncanya mungkin jumlah penduduk di pusat pentadbiran negara tersebut masih rendah pada waktu itu yang tidak dapat menyokong operasi perkhidmatan monorel terutama ketika di luar waktu puncak.
Apa yang tinggal kini hanya struktur stesen monorel di Putrajaya Sentral, jambatan gantung merentasi tasik dan terowong yang sedikit mencacatkan pemandangan kerana telah hampir 19 tahun terbengkalai.
Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 mendedahkan berlaku pembaziran dana awam sebanyak RM812.91 juta akibat penangguhan projek dan kos bagi penyelenggaraan terowong.
Jumlah penduduk Putrajaya ketika ini melepasi 100,000 orang dan Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan jumlahnya meningkat kepada 350,000, 25 tahun lagi.
Meskipun jumlah itu masih tidak seramai penduduk Johor Bahru yang setakat ini tidak mempunyai sistem LRT sendiri, tetapi bilangan penduduk luar terdiri daripada penjawat awam yang tinggal di luar Putrajaya, orang awam yang datang ke pejabat kerajaan atas pelbagai urusan serta pelancong perlu diambil kira.
Lambat-laun Putrajaya memerlukan sistem tren sendiri bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam selain menjadi penyambung kepada perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya.
Sistem pengangkutan transit berasaskan rel yang cekap di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam yang tinggal di kuarters untuk berulang alik ke tempat kerja sekali gus mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak.
Pengurusan pengunjung dalam jumlah yang ramai ketika penganjuran acara tertentu lebih mudah dengan adanya sistem monorel Putrajaya.
Mengambil contoh ketika sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-66 di Dataran Putrajaya, baru-baru ini.
Orang ramai yang datang untuk menyaksikan perbarisan dengan menaiki pengangkutan awam seperti MRT dan ERL berdepan masalah untuk bergerak balik ke Putrajaya Sentral walaupun RapidKL ada menyediakan bas ulang-alik khas.
Perkara ini terjadi kerana masih ada pengunjung yang memilih menaiki kereta untuk ke Dataran Putrajaya menyebabkan bas tersangkut dalam kesesakan teruk.
Akhirnya ramai juga terpaksa berjalan kaki ke Putrajaya Sentral setelah acara selesai kerana bas yang dinanti tidak kunjung tiba.
Sekiranya kos menghidupkan semula projek monorel Putrajaya agak membebankan, alternatif pengangkutan lain iaitu sistem trem dan sistem transit aliran autonomi (ART) seperti di Kuching, Sarawak boleh dipertimbangkan.
Mungkin monorel boleh dibina jika skop jajaran diluaskan sehingga Bangi, Cyberjaya dan Dengkil. – UTUSAN
M. FAISAL, Kuala Lumpur