Henti minta jawatan, ikhlas bantu rakyat

Henti minta jawatan, ikhlas bantu rakyat

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN memperoleh kemenangan dua pertiga. –UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan meluahkan harapan supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat melakukan perubahan dengan membuka pintu kepada wakil rakyat PH berada dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi, mungkin boleh beri tiga jawatan Exco kepada PH sebagai tanda kerjasama BN-PH di Johor.

Katanya, perkara ini belum dibincang secara rasmi, apa-apa pun itu terpulang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan paling penting, perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.

Bagi saya, mutakhir ini ekonomi negara masih berdepan cabaran kegawatan ekonomi antarabangsa sehingga memerlukan semua pihak termasuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berhemat dalam perbelanjaan.

Ramai rakyat masih berdepan cabaran getir untuk menyara keluarga khususnya menyediakan keperluan makan minum, pakaian, pendidikan dan tempat tinggal.

Ramai yang buat kerja sambilan untuk menambah pendapatan diri dan keluarga sama ada secara harian, mingguan dan berkala. Harga barang juga masih mencanak naik sehingga rakyat terus tertekan kerana belum nampak kesudahannya.

Bagaimanapun, ahli politik nampaknya tidak memberi fokus kepada kegusaran dan tekanan hidup rakyat. Keputusan pilihan raya telah diketahui, sudah menjadi Yang Berhormat dan mendapat elaun wakil rakyat beribu-ribu ringgit setiap bulan.

Mereka tidak peka dan tidak peduli nasib rakyat sehingga tergamak mendesak kerajaan BN Johor melantik dalam kalangan mereka sebagai Exco.

Sedarlah diri, kos yang terpaksa rakyat dan kerajaan negeri tanggung nanti bukan setakat elaun Exco sahaja, tetapi termasuk kereta, pejabat, gaji pekerja dan pelbagai kos tuntutan kemudahan lain kelak.

Lebih baik duit itu dibelanjakan untuk membela nasib rakyat. Ahli politik boleh sahaja mencari jalan penyelesaian, membantu dan menyuarakan keresahan rakyat walaupun mereka tiada sebarang jawatan dan tidak dibayar elaun serta gaji oleh kerajaan negeri.

Jika tiada jawatan Exco dan tiada pejabat, cubalah berbincang di rumah sendiri, di kedai kopi atau dewan guna sama komuniti pun boleh.

Apabila sudah ada maklumat, senaraikan kes, isu dan nama rakyat yang terlibat serta cadangan bagi menyelesaikannya dengan mengemukakan kepada menteri besar, pegawai daerah atau jabatan berkaitan.

Itulah sekurang-kurangnya cara boleh saya tunjuk ajar kepada ahli politik yang seolah-olah lupa cara berkhidmat kepada rakyat. Ada banyak cara untuk membantu rakyat dan membangun negara. Teknologi digital di tangan sendiri termasuk telefon bimbit, idea boleh dicari dan disesuaikan di negara kita.

Berusahalah menjadi politikus yang bermanfaat kepada rakyat dan jangan jadi pemimpin yang tidak berguna dalam hidup kami.

Usaha membantu rakyat boleh dibuat secara sukarela tanpa perlu mendesak diberikan jawatan. Cukuplah, buanglah perangai yang membuatkan rakyat meluat. Semakin banyak bersuara, semakin rakyat kenali siapa anda.-UTUSAN

AZ LUCIA
Johor Bahru, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya