Guru masih perlu sokongan walaupun diberi autonomi - Utusan Malaysia

Guru masih perlu sokongan walaupun diberi autonomi

GURU sering mengalami kekangan untuk mengajar kerana pelbagai masalah termasuk dari aspek infrastruktur yang serba kekurangan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita semua tahu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuasa autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam untuk menjalankan proses pengambilan pelajar.

Langkah itu membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti sebelumnya.

Selain itu, bagi memperkukuhkan bahagian kaunseling di sekolah, KPM memberi lebih ruang autonomi kepada guru bagi menguruskan isu sikap, disiplin dan perbuatan vandalisme dalam kalangan pelajar.

Meskipun sekolah telah diberikan autonomi dalam pembuatan keputusan, namun realitinya guru mengalami pelbagai kesukaran dari segi pelaksanaan.

Sebagai contoh, guru mempunyai hasrat yang tinggi untuk membina budaya pemikiran kreatif dan kritis, memperbaiki kualiti aktiviti pembelajaran, memupuk budaya kepimpinan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Namun, kekangan dari aspek infrastruktur, sumber dan bahan bantu mengajar, kurikulum, masalah tadbir urus, kekurangan guru bidang dan staf sokongan serta kapasiti pelajar yang terlalu ramai dalam satu kelas telah membantutkan pelaksanaan hasrat untuk perubahan.

Langkah proaktif perlu bagi menangani permasalahan ini terutama melalui penyediaan fasiliti yang lebih baik di setiap sekolah termasuk kemudahan makmal komputer.

Ini termasuk menambah baik kemudahan internet, tandas, persekitaran sekolah dengan iklim dan budaya positif, penyusunan semula organisasi pentadbiran lebih efisien dan galakan persekitaran pembelajaran secara terbuka yang tidak hanya terhad di dalam bilik darjah.

Keprihatinan dan sikap peka pengurusan sekolah dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mampu membantu guru untuk membuat anjakan dalam aspirasi mereka.

Selain itu, kolaborasi erat antara ibu bapa dan guru bagi menjayakan program-program yang dirangka juga dapat membantu merealisasikan hasrat guru untuk menambah baik aktiviti pengajaran. – UTUSAN

DR. ROSHAFIZA HASSAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya