Guna AI tamatkan segera isu kekurangan guru

Guna AI tamatkan segera isu kekurangan guru

PENGAMBILAN 9,500 guru baharu bulan depan dikatakan masih tidak mencukupi untuk menampung kekurangan guru ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASALAH kekurangan guru di sekolah berlaku tanpa ada penyelesaian konkrit. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NTUP) juga menganggarkan guru yang memohon untuk bersara awal melebihi 10,000 orang setiap tahun.

Pelbagai faktor dikaitkan, namun punca terbesar adalah sebahagian guru yang memilih untuk bersara awal kerana tekanan tugas bukan hakiki, kesihatan dan penguasaan teknologi.

Situasi tahunan guru bersara awal ini sudah lama berlaku. Kementerian Pendidikan seolah-olah tidak bersedia untuk menggunakan cara baharu bagi mengatasi masalah ini walaupun dikatakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan telah diaktifkan semula.

Pengambilan guru secara one-off juga didapati tidak berupaya mengatasi sepenuhnya masalah ini. Masih terdapat sekolah yang kekurangan guru. Penyesuaian dinamik guru one-off perlu diberikan perhatian agar kualiti pengajaran dan pembelajaran (PnP) terjaga.

Beberapa pendekatan boleh diambil sekiranya kementerian serius mahu menyelesaikannya. Contohnya, menggunakan kaedah statistik secara pemadanan permohonan guru untuk bersara awal dengan permohonan guru untuk bertukar secara masa sebenar (real time).

Dikatakan juga isu kekurangan guru hanya berlaku melibatkan beberapa subjek tertentu. Jadi, institut pendidikan guru (IPG) atau institut pengajian tinggi (IPT) boleh mempertimbangkan agar tempoh pengajian untuk subjek tertentu dipendekkan tanpa menjejaskan kualiti graduan atau meningkatkan bilangan opsyen sedia ada.

Graduan IPT yang baharu tamat pengajian boleh diserap masuk ke sekolah-sekolah mengalami kekurangan guru secara automatik, sekurang-kurangnya sebagai guru interim tanpa melalui proses biasa yang memakan masa.

Pentadbir sekolah juga boleh diberi kuasa untuk menggantikan kekurangan guru dengan guru interim pada kadar segera.

Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti taburan atau hotspot daerah yang berlaku krisis kekurangan guru dapat mengatasi masalah ini. Teknologi ini memaparkan data secara terperinci seperti tahap kritikal sekolah kekurangan guru, kekosongan berdasarkan subjek, jumlah guru bakal bersara dan guru yang bersara tetapi ingin mengajar.

Pemprosesan data dari sekolah secara masa sebenar juga penting kerana melibatkan data komprehensif seperti jangkaan pertambahan bilangan murid dan kelas. Data ini boleh diambil secara terus tanpa proses verifikasi yang terlalu rumit.

Permohonan guru untuk bersara perlu ditadbir urus dengan baik agar kualiti pendidikan negara tidak terjejas. Ini kerana dibimbangi permasalahan sebegini akan menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar terutamanya pelajar Melayu yang sangat bergantung kepada sekolah kerajaan.-UTUSAN

MOHD. FIRDAUS HASHIM
Ketua Penerangan
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya