Filem cereka sains cetus minat pelajar pilih aliran sains - Utusan Malaysia

Filem cereka sains cetus minat pelajar pilih aliran sains

HUTAN Simpan Belum di Perak boleh menjadi lokasi menarik untuk filem cereka sains.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia pada 4 September lalu mendedahkan, hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke tingkatan empat bagi sesi 2023/2024.

Bagi saya, isu kurang minat memilih aliran sains boleh diatasi dengan cara memperbanyakkan filem berkaitan cereka sains untuk tontonan generasi muda.

Mungkin penerbit ­filem kurang berminat untuk menghasilkan ­filem cereka sains kerana khuatir tidak mendapat sambutan penonton.

Namun, jika jalan cerita dan garapan yang baik diterapkan untuk sesebuah ­filem, ia boleh mendapat sambutan menggalakkan seperti ­ filem cereka sains pertama Malaysia, XX Ray pada 1992.

Sebenarnya, ­filem cereka sains dapat merangsang keinginan seseorang untuk mendalami bidang sains dan teknologi.

Penonton akan tertanya-tanya dan berimaginasi tentang kehidupan di masa hadapan. Ini akan membuatkan mereka lebih peka dan bersiap sedia untuk menghadapinya kelak.

Sesebuah ­filem cereka sains perlu mempunyai jalan cerita menarik, memberi pengajaran, merangsang pemikiran dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Ia tidak seharusnya berpusat kepada penonjolan teknologi sahaja mahupun tentang kebaikan melawan kejahatan semata-mata.

Pelepasan air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima, Jepun ke lautan baru-baru ini boleh dijadikan plot untuk sebuah filem cereka sains baharu.

Akibatnya, suatu hari, nelayan di Semenanjung menemui bangkai hidupan laut yang telah bermutasi dan beradioaktif. Hidupan laut tidak lagi selamat untuk dimakan.

Dengan fenomena El Nino yang berterusan, negara menghadapi krisis tanaman, makanan dan air bersih.

Satu kumpulan terdiri daripada saintis, aktivis, artis, ahli politik dan penganggur, masing-masing mempunyai karakter berbeza, telah bertemu secara tidak sengaja.

Mereka meredah masuk ke dalam Hutan Simpan Belum di Perak untuk mencari sumber air dan makanan kerana menurut kaum Orang Asli suku Jahai, mereka mendapat sumber air dan makanan dari dalam hutan tersebut.

Setelah jauh berjalan, tiba-tiba mereka terjumpa sebuah tamadun termaju melampaui zaman di situ.

Gabungan antara realiti (air radioaktif, El Nino, krisis makanan) dan cereka (mutasi, tamadun termaju) serta pendedahan tentang keunikan Hutan Simpan Belum dan suku Jahai akan membuatkan ­filem yang bakal dihasilkan itu lebih menarik.

Secara tidak langsung, ia akan merangsang minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi di samping meningkatkan kepekaan terhadap alam sekitar, pemuliharaan hutan, adab, budaya dan krisis makanan. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya