SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI kita semua tahu, ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sasaran lonjakan pertumbuhan ekonomi negara sekurang-kurangnya lima peratus setahun.
Ia adalah dalam tempoh RMK12 dari 2021 hingga 2025 dengan memberikan tumpuan kepada dua perkara pokok iaitu pertama, memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran.
Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta dan ahli akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara.
Perkara kedua adalah kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelabur dengan memperkukuh daya saing melalui cara penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah.
Umum bersepakat, ekonomi adalah tunjang dalam mewujudkan kemakmuran dan kekuatan kepada sesebuah negara.
Tanpanya bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada kelestarian masyarakat, malah boleh mencetus kemelut kepayahan dan kesusahan dalam kehidupan mereka.
Situasi ini mendatangkan pelbagai impak negatif, antaranya kemunduran dalam pelbagai aspek termasuk daya pemikiran sekali gus menjejaskan ketamadunan sesebuah negara.
Isu penting ini akan mengundang pelbagai reaksi sosial, kejiwaan dan prejudis dalam kalangan masyarakat khususnya.
Agenda ekonomi termasuk KSP RMK12 adalah agenda utama untuk memastikan kemampuan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.
Justeru, pelbagai pendekatan diusahakan, antaranya Perdana Menteri meluncurkan naratif ekonomi baharu, Ekonomi Madani: Memperkasa Ekonomi Rakyat pada Julai lalu.
Satu naratif yang dilihat mampu mewujudkan keseimbangan sosioekonomi rakyat di negara ini. Naratif ekonomi madani dijangka merubah landskap ekonomi negara.
Konsep naratif ekonomi yang diketengahkan sudah tentu mengundang pelbagai reaksi serta menyuntik sesuatu kepada pemikiran masyarakat.
Persoalannya, apakah sumbangan bidang pendidikan tinggi untuk memajukan ekonomi negara, tentu sukar untuk dijawab secara langsung.
Sebagai contoh, kita boleh lihat Dasar Pendidikan Terbuka yang menerima pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian tinggi di negara ini.
Usaha itu menjana hasil kewangan yang baik kerana sektor pendidikan juga memainkan peranan signifikan bagi menyumbang kepada pendapatan negara dan mempunyai potensi tinggi untuk dikembangkan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama semua universiti di negara ini perlu melihat usaha-usaha membantu kerajaan melalui inisiatif-inisiatif yang mampu melonjakkan ekonomi negara.
Justeru, model yang lengkap dan jelas perlu disediakan untuk masyarakat. Naratif ekonomi madani tidak cukup dijuarai hanya dengan slogan semata-mata.
Perkara ini memerlukan tindakan secara konkrit dan praktikal. KPT melalui universiti juga harus mampu menjadi ejen perubahan masyarakat dengan keupayaan melahirkan generasi muda yang boleh menjayakan naratif ekonomi madani ini.
Tumpuan perlu diberikan kepada empat sasaran dikenali sebagai 4P. Ia merujuk kepada penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu serta pengantarabangsaan.
Ilmu tidak hanya tinggal ilmu dan kertas kerja penyelidikan tidak hanya menghiasi rak perpustakaan tetapi perlu dimasyarakatkan. Maka tentunya ia perlu dirancang, dijana dan dilaksanakan secara teratur.
Tidak hairanlah KPT menyasarkan tiga peringkat utama yang harus dilaksanakan iaitu tindakan jangka pendek, tindakan jangka sederhana dan sasaran jangka panjang. – UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. SAZILI SHAHIBI, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM)