DAP diminta segera pinda Deklarasi Setapak 1967 - Utusan Malaysia

DAP diminta segera pinda Deklarasi Setapak 1967

MASIH banyak pihak yang sangsi dengan kenyataan Anthony Loke bahawa Melayu bukan musuh kepada DAP dan parti berkenaan juga bukan musuh kepada Melayu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA mengakhiri ucapan dasar sempena Persidangan Tahunan DAP 2023 di Putrajaya pada 10 September lalu, Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke dengan tegas menyatakan Melayu bukan musuh kepada DAP dan parti berkenaan juga bukan musuh kepada Melayu.

Beliau berkata, DAP juga bukannya musuh kepada mana-mana kaum dan agama di negara ini. Menurutnya, DAP adalah sebuah parti yang mendukung aspirasi seluruh rakyat tidak kira kaum dan agama.

“Jangan kita mudah terperangkap dengan paradigma lama. Apabila kita sebut ‘Malaysia untuk Malaysia’, saya yakin demokrasi dan politik serta kedudukan orang Melayu dalam politik terjamin.

“Tiada sebab orang Melayu perlu bimbang dan takut dengan DAP. Kita bukan parti yang pagi cakap lain, malam cakap lain,” katanya.

Bagi saya kenyataan itu hanyalah retorik politik semata-mata, malah ia masih gagal meyakinkan orang Melayu bahawa DAP adalah bumbung yang selamat untuk berteduh.

Kaum majoriti di negara ini jangan begitu mudah dan selesa dalam menerima kenyataan sedemikian sebaliknya harus berwaspada sepanjang masa.

Mungkin kenyataan tersebut dibuat secara ikhlas oleh pemimpin DAP itu, namun ia tidak menggambarkan keseluruhan tata kelola keikhlasan sebenar parti tersebut terhadap orang Melayu.

Terlalu banyak insiden dan strategi tidak bermoral diperlakukan termasuk elemen “guna Melayu untuk skru Melayu” di samping memaki hamun UMNO.

Bagaimanapun, jika benar DAP sudah berubah sikap terhadap Melayu dengan kehadiran seorang Setiausaha Agung parti yang baharu, maka buktikan bahawa parti itu mempertahankan kedudukan bumiputera dan tidak lagi membangkitkan soal kesamarataan serta konsep negara sekular bukan lagi keutamaannya.

Sila pinda beberapa klausa penting berhubung kait dengan orang Melayu seperti tercatat dalam dokumen Deklarasi Setapak 1967 menggariskan prinsip perjuangan DAP yang berkemampuan mendatangkan kemarahan berpanjangan. – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik dan bekas ahli DAP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN