SAUDARA PENGARANG,
OGOS ialah bulan kemerdekaan. Oleh itu, merdekakan sikap anda ke arah kebaikan. Jika gaji anda tidak mewah, bersyukurlah anda masih ada kerja berpendapatan halal.
Apa guna gaji mewah tetapi bercampur dengan wang tidak halal. Antara halal dan haram, tengah-tengah ada syubhah (wujud kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram).
“Kalau tinggal rumah sewa tapi beli kereta mewah. Amboi, amboi…” Begitulah antara lirik dalam lagu Amboi nyanyian Altimet.
Walaupun lagu tersebut berirama rap tetapi seni katanya menusuk ke tulang setiap rakyat Malaysia. Ini merupakan satu dakwah dalam bidang seni. Banyakkan lagi lagu kempen untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai keburukan jika bersubahat dengan perbuatan rasuah.
Saya cadangkan lagu popular Dadah Durjana yang dihasilkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dijadikan panduan untuk menghasilkan lagu Rasuah Durjana, kerana lirik lagu kempen mencegah dadah itu membawa seribu makna.
Rasuah merujuk kepada perbuatan memberi habuan kepada orang yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang diberi rasuah itu telah mendapat gaji dan upah tertentu, lebih kaya dan berjawatan serta bukan ahli keluarga si pemberi.
Pemberian dengan niat agar suatu masa nanti mendapat balasan lebih besar daripada orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat, orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.
Seingat saya, sudah lama rakyat Malaysia Madani diingatkan dengan bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen di alam maya dibuat.
Ingat tidak kisah jerung dan ikan bilis? Kalau ada pilihan bagi mengurangkan spesies antara kedua-duanya, apa yang akan anda lakukan? Adakah anda akan mengebom kedua-duanya, habis cerita?
Inilah sebenarnya perumpamaan golongan yang mengambil rasuah. Golongan jerung ini susah sikit hendak ditangkap. Dia punya mengelupur boleh tenggelam bot penangkap ikan. Akan tetapi ikan bilis mudah ditangkap, tidak mengelupur pun. Tak kira jerung atau ikan bilis, salah tetap salah.
Sekarang ini, menurut perhatian saya sebagai pegawai badan berkanun, pelajar sekolah harus difahamkan apa itu rasuah dan kesannya pada negara.
Ikut sejarah, runtuh Kota Melaka kerana rasuah, runtuhnya sistem pemerintahan khalifah Uthmaniyah di Istanbul pada 1924 kerana rasuah. Akhir zaman jangan tidak tahu, dajal sebenar pun akan tawarkan rasuah bagi orang yang ingin menjadi pengikutnya. Rasuah jalan mudah, tetapi niat tidak menghalalkan cara.
Akhir sekali, jika tiada penawaran, masakan ada pembeli. Inilah sebenarnya, realiti atau fantasi. Banyak kes orang yang menerima rasuah ditangkap. Kes orang yang menawarkan rasuah ditangkap kadang-kadang atau jarang-jarang. Sepatutnya seimbangkan.
Kita telah menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-66. Jadikan merdeka diri daripada rasuah prinsip paling utama. Bebas rasuah, bebas dadah dan bebas dedah. Salam bahtera merdeka 2023. Merdekakan generasi kita dengan akhlak terpuji. Nanti dunia akan kenal Malaysia. – UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD, Kepala Batas, Pulau Pinang