SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya ke pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu yang tamat tempoh.
Ketika di sana, saya diminta mendaftar aplikasi MyJPP untuk proses memperbaharui lesen memandu. Malangnya, saya berdepan masalah pada bahagian No. Rujukan yang tidak boleh diakses oleh kakitangan di pejabat pos dan mereka meminta saya ke mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Bagi saya, jika kerajaan mahu melakukan sesuatu perubahan, pastikan dahulu sistem digunakan sudah 100 peratus sempurna. Ini tidak, alasan ‘kami tidak boleh mengakses sistem’ sangat-sangat tidak munasabah sedangkan bukan setahun dua pejabat pos bekerjasama dengan JPJ untuk tujuan pembaharuan lesen.
Selain membuang masa, saya dapat bayangkan bagaimana warga emas yang ‘terkedek-kedek’ menggunakan telefon pintar untuk memuat turun aplikasi dan mengisi maklumat diperlukan. Ia sangat tidak mesra warga emas.
Mengapa tidak pastikan sistem yang ada berjalan lancar dan boleh diakses dengan mudah di pejabat pos? Ataupun mengapa tidak mewajibkan sahaja proses pembaharuan lesen hanya di cawangan JPJ, lebih mudah begitukan? Tidak perlu kami membuang masa ke dua lokasi berlainan hanya untuk satu tujuan yang sama. Mengapa perlu berlumba-lumba nak menunjukkan ‘kelebihan’ sedangkan terlalu banyak kelompangan dalam pembangunan aplikasi itu?
Dan apabila ke JPJ, pelanggan diminta pula memuat turun aplikasi JPJeQ yang bertujuan untuk mendapatkan nombor giliran ke kaunter. Berapa banyak aplikasi perlu dimuat turun sedangkan ia untuk sekali guna sahaja? Ini akan ‘memberatkan’ telefon pintar.
Harap JPJ boleh menambah baik sistem agar memudahkan orang ramai. Saya juga cadangkan supaya memudahkanlah warga emas yang agak bersusah payah untuk menggunakan teknologi maklumat.-UTUSAN
ZANA
Kuala Lumpur