SAUDARA PENGARANG,
MENURUT kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Mei lalu, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti cili, halia, kubis, mangga dan kelapa tidak mencapai kadar sara diri (SSR) 100 peratus bagi 2021.
Statistik nilai import makanan negara yang dikeluarkan KPKM pada 2022 pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM75.54 bilion berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu kenaikan sebanyak 18.7 peratus.
Angka ini sudah pasti merisaukan kita. Malah dikatakan import makanan negara boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang 2025 berdasarkan keperluan dan trend semasa.
Yang menghairankan kita adalah dengan bentuk muka bumi yang sama seperti negara-negara jiran, mengapa Malaysia masih ketinggalan dari segi pengeluaran dan kecukupan domestik hasil dari bidang pertanian ini.
Malaysia tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada import makanan. Bayangkan jika negara pengeksport mengubah polisi mereka akibat faktor pengeluaran, cuaca, peperangan dan sebagainya. Natijahnya, rakyat kita akan menanggung kesan kenaikan harga barangan makanan import dengan jumlah tinggi.
Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendirian bahawa sudah sampai masanya negara beralih kepada polisi pengeluaran produk makanan yang lebih komprehensif, berdaya maju dan berteknologi.
Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 sedia ada perlu dirombak dan dikaji semula. Mana-mana polisi yang sudah tidak relevan atau tidak mendatangkan impak positif perlu diubah daripada peringkat penjualan, pengeluaran, benih, baja dan sebagainya.
Semua pemain industri perlu duduk semeja mencari kaedah terbaik untuk kelangsungan industri makanan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang.
Mahu tidak mahu sejumlah belanjawan yang besar harus ‘khususkan’ kepada KPKM agar sektor pertanian negara mampu berdaya maju melalui teknologi moden bagi mengeluarkan hasil mencukupi.
MBM mempunyai ahli di peringkat negeri dan daerah bersedia membantu kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan tani. Untuk rekod, MBM pernah mencadangkan ketika pentadbiran terdahulu dan mendapat respons positif yang melibatkan kerjasama jangka panjang pembangunan program tanaman bernilai tinggi khusus untuk para belia.
Melalui program ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji penggunaan tanah yang belum dibangunkan di 22 Institut Latihan Kemahiran Belia (ILKBS) di seluruh negara agar dimanfaatkan sebagai bank tanah untuk para belia namun usaha tersebut tidak dapat diteruskan apabila Kerajaan Pusat berubah kepimpinan.
Untuk menjayakan agenda ini, wakil belia juga perlu dilibatkan di peringkat pembuat dasar kementerian bagi mengelak berlakunya kerenah birokrasi dalam kalangan pembuat dasar yang tidak selaras dengan harapan di kalangan belia yang sedikit sebanyak akan merugikan sumber serta modal insan itu sendiri.
Kerajaan juga diharapkan tidak mengenakan syarat-syarat permohonan pinjaman yang ketat kepada golongan muda yang berminat terlibat dalam bidang pertanian.-UTUSAN
UNIT PENERANGAN,
PENERBITAN DAN MEDIA
Majlis Belia Malaysia (MBM)